Thursday, October 23, 2008

Keberkesanan dan Impak Program Latihan Khidmat Negara

Semalam saya pergi berjumpa dengan timbalan pengarah kementerian pertahanan bahagian Kuching dan kami bincang mengenai keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara. Di antara perkara yang menjadi perbincangan adalah berapa lamakah impak program tersebut terhadap para peserta. Program tersebut dijalankan selama 3 bulan dan ianya adalah berdasarkan modul multi disiplin iaitu:

Modul Fizikal
Modul Kenegaraan
Modul Pembinaan Karekter
Modul Khidmat Komuniti

Berdasarkan modul-modul tersebut objektif yang hendak dicapai adalah patriotisme, perpaduan kaum, karekter yang baik dan semangat kesukarelaan.

Dalam pemerhatian saya jika program hanya dijalankan 3 bulan, kesan program hanya dapat dirasai selama maksimum 6 bulan. Ini kerana selepas tamat program para peserta akan kembali kepada persekitaran lama dan mengamalkan kembali aktiviti-aktiviti lama. Impak program yang lebih lama perlu diperolehi kerana objektif program adalah untuk menyemai semangat cintakan negara dan perpaduan di antara kaum. Ini adalah sesuatu yang perlu ada dalam hati setiap masyarakat Malaysia bagi menjamin keharmonian dan keamanan negara.

Di samping itu, para peserta yang berumur 18 tahun agak sukar untuk menerima perubahan kerana kebiasaannya pada ketika umur tersebut remaja akan lebih gemar memberontak dan melakukan perkara yang sebaliknya.

Cadangan saya adalah, jika boleh program ini dijalankan lebih awal serta mensasarkan golongan yang lebih muda. Kalau boleh ia dibuat seperti "summer camp" yang dilakukan setiap tahun dan ianya boleh dilakukan pada cuti sekolah hujung tahun. Konsepnya lebih kepada percutian sambil belajar untuk mengurangkan tekanan kepada para peserta. Walaupun tempoh programnya singkat namun ianya dibuat berterusan dari umur 10 tahun ke umur 18 tahun. Ini akan memberikan kesan yang kekal dan berpanjangan kepada para peserta. Bagi menangani masalah kekurangan para pengajar serta bagi memantau para peserta, penglibatan pihak guru sekolah dapat membantu dalam hal ini. Dengan sistem pendidikan yang ada sekarang, pada hujung tahun golongan pelajar dan guru bercuti panjang tanpa apa-apa aktiviti yang membina. Padahal ketika umur inilah para pelajar lebih mudah menerima apa yang diajarkan kepada mereka. Jadi ini merupakan tempoh kritikal yang perlu diisi dengan sebaik-baiknya. Jika dibiarkan pelajar berkeliaran dan melakukan aktiviti tanpa pemantauan, pada ketika inilah pelajar akan dipengaruhi oleh dadah, rokok, minuman keras dan aktiviti yang tidak bermoral.

Selain daripada itu, modul-modul tambahan boleh diserapkan ke dalam program. Di antaranya modul perniagaan yang mengajar para peserta agar lebih peka mengenai wang dan cara mengendalikannya. Ini kerana kebanyakkan tekanan yang dihadapi pada masa sekarang adalah kerana ketiadaan wang. Tanpa wang dan tanpa pengetahuan mengenainya, masyarakat kita biasanya akan mengambil jalan singkat untuk memperolehi kemewahan. Dengan adanya pengetahuan ini dari awal lagi, gejala rompakan, rasuah, skim cepat kaya, bunuh diri dan sebagainya dapat dielakkan. Kita akan menyelesaikan masalah dari rebungnya dan bukannya buluh yang sukar hendak dilentur. Pengangguran juga dapat dikurangkan kerana modul seumpama ini akan melahirkan para peserta yang lebih kreatif dan berinisiatif tinggi.

Modul IT juga boleh diserapkan ke dalam program kerana kepentingan pengetahuan teknologi pada ketika ini tidak dapat dinafikan. Pendedahan awal golongan para peserta dalam pengetahuan teknologi dan perkomputeran akan memberikan kelebihan kepada mereka dalam menangani dunia informasi kini.

Saya amat menyokong program latihan khidmat negara ini kerana ianya mempunyai potensi untuk berkembang dan mampu memberikan kesan yang mendalam kepada masyarakat dan negara Malaysia. Saya yakin program ini berkemampuan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang sebenar-benarnya cemerlang, gemilang dan terbilang. Insyaallah.

1 comment: