Monday, October 20, 2008

Tun Mahathir vs Pak Lah

Isu mengenai Tun mempengaruhi pemilihan pemimpin UMNO merupakan satu perkara yang saya anggap serius. Pak Lah kelihatan agak marah apabila Tun seakan-akan cuba untuk mencadangkan beberapa orang pemimpin untuk pencalonan kepimpinan UMNO. Baginya Tun telah menimbulkan pergolakkan dan mengganggu perpaduan dalaman UMNO.

Walaupun Tun telah bersara namun pengaruhnya kepada umum masih kuat dan idea-ideanya masih boleh diguna pakai untuk melancarkan lagi sistem pentadbiran serta perkembangan ekonomi negara. Walaupun begitu apabila Tun terlalu mengkritik dan terlalu spesifik ketika menyuarakan pendapat serta luahan hatinya, ianya menimbulkan kekeliruan dikalangan ahli UMNO dan rakyat. Ini jika berlaku secara keterlaluan akan menyebabkan perpecahan dikalangan UMNO serta seterusnya menjejaskan perpaduan.

Pada pendapat saya, Tun seharusnya lebih berhati-hati ketika menyuarakan pendapat dan mengutamakan perpaduan serta kesejahteraan bangsa apabila membuat kritikan. Walaupun niatnya baik namun caranya kalau boleh diperhalusi. Saya sering mengikuti blog Tun kerana penulisan secara terus dari seorang negarawan amat menarik minat saya. Mengetahui cara pemikiran serta membaca sendiri pengalaman yang ditulis olehnya adalah sesuatu yang tidak ternilai bagi seorang rakyat Malaysia seperti saya. Bagi saya tanpa blog tersebut Tun hanya dapat dilihat dan didengar melalui television dan dibaca di akhbar-akhbar. Dengan adanya blog tersebut, Tun boleh secara langsung mempengaruhi dan berinteraksi dengan seluruh rakyat Malaysia. Pada mulanya penulisan Tun lebih kepada informasi dan kritikan sindiran, namun kebelakangan ini Tun membawa pendekatan yang lebih direct dan lantang. Mungkin baginya keadaan politik UMNO sekarang amat genting dan masa untuk memulihkannya agak singkat, namun janganlah sehingga penulisannya boleh memecah-belahkan perpaduan.

Tun merupakan seorang negarawan yang saya sangat hormati tapi setiap manusia tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Apabila ini berlaku adalah tanggungjawab kita sesama manusia untuk menegur. Pak Lah pula sepatutnya sejak dari dulu lagi mengambil berat mengenai kritikan-kritikan serta teguran-teguran yang telah Tun berikan. Walaupun tidak semestinya menerimanya bulat-bulat tapi sekurang-kurangnya perkara-perkara yang berkaitan dapat dibincangkan dan dibawa bermesyuarat. Jika ini dapat dilakukan dahulu, banyak isu-isu yang tidak sepatutnya timbul dapat dielakkan. Namun sekarang semuanya sudah terlambat dan kesannya dirasai rakyat. Biarlah kita fokus kepada permasalahan yang ada dan elakkan perkara yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Seperti yang saya katakan, manusia tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Keberanian untuk mengaku bahawa kita telah silap adalah sesuatu yang saya hormati dan kagumi. Kini Pak Lah sedar bahawa dia telah melakukan kesilapan dan tindakannya untuk tidak bertanding jawatan presiden UMNO adalah pengakuannya. Kita harus berterima kasih kerana tindakannya secara langsung bertujuan untuk menjamin perpaduan UMNO dan seterusnya kesejahteraan negara. Walaupun dia boleh menyandang jawatan presiden untuk jangka masa yang lebih lama, namun tindakannya membuktikan bahawa dia lebih mementingkan perpaduan negara.

Rakyat Malaysia harus sedar akan kepentingan perpaduan ketika ini. Perpaduan akan menjamin kemakmuran yang kekal serta perkembangan dan kekuatan ekonomi kita pulih seperti sediakala.

No comments:

Post a Comment