Thursday, December 25, 2008

Eda Cupcakes

Cupcakes.. Kuih moden yang menjadi trend terkini..

Dari blog Eda Cupcakes saya lihat ramai yang menggemari kuih ini dan usahawanita kita Puan NurAida mengambil peluang ini untuk menggunakan kemahiran yang dia ada dalam memulakan perniagaan menjual cupcakes.

Pada mulanya saya memang dapat rasakan bahawa penjualan cupcakes ini mempunyai potensi kerana rupanya yang menarik dan berwarna-warni. Selain daripada menjadi kuih ia boleh menjadi penghantar mesej atau seakan-akan sebuah kad untuk dihadiahkan kepada teman-teman atau ahli keluarga. Menjadi hadiah hantaran juga merupakan salah satu kegunaannya yang menjadi ikutan di masa sekarang. Cupcakes boleh menggantikan kek harijadi atau kek perkahwinan yang biasanya digunakan. Dengan harga yang lebih murah dan rupa yang lebih cute dan menarik, sudah tentu trend ini akan menjadi ikutan ramai.

Disamping potensi-potensi yang saya senaraikan di atas, yang paling mengejutkan saya ialah apabila saya merasa sendiri cupcakes buatan Puan Nur Aida. Saya ingatkan rasanya seperti kek-kek icing yang biasa, tapi setelah mencuba sendiri ternyata ianya bukan saja sedap dilihat tetapi juga sedap untuk dimakan. Saya biasanya agak cerewet dan sangat spesifik tentang mutu dan rasa makanan, namun Cupcakes Puan NurAida saya kategorikan sebagai sedap.

Untuk mereka yang ingin mencuba Cupcakes, saya syorkan Eda Cupcakes yang halal dan 100% buatan bumiputra. Keterangan untuk tempahan boleh didapati di blognya.

http://edacupcakes.blogspot.com/

Wednesday, December 24, 2008

Rasuah dalam Perniagaan 2

Sambungan....

Jadi apakah jalan penyelesaiannya bagi kita usahawan-usahawan Islam yang enggan memberi rasuah?

Persoalan yang pernah menjadi tanda tanya kepada saya, setelah puas saya bertanya, cari, baca dan kaji, saya dapati yang kurang pada mereka yang memberi dan menerima rasuah adalah perasaan tawakkal. Tawakkal yang membawa maksud:

“mempercayakan diri kepada Allah SWT dalam melaksanakan suatu rancangan, bersandar kepada kekuatan-Nya dalam melaksanakan suatu pekerjaan, berserah diri di bawah perlindungan-Nya pada waktu menghadapi kesukaran”.

Jika kita telah usaha dengan sebaik-baiknya maka seharusnya kita serahkan saja tugas seterusnya kepada Allah SWT. Biarlah Dia yang menentukan nasib kita.

Apabila kurang perasaan tawakkal ini, pada ketika itulah kita mula mencari ikhtiar sendiri untuk memudahkan kerja serta menyenangkan kehidupan kita. Kita mula memberi rasuah kerana kita percaya orang yang kita berikan rasuah itu adalah satu-satunya yang dapat membantu kita. Begitu juga dengan penerima rasuah, mereka percaya bahawa hanya dengan duit yang mereka terima itu, mereka mampu mencari nafkah lebih. Sedangkan yang memberi rezeki hanya yang satu iaitu Allah SWT.

Itulah kesedaran yang saya perolehi, kesedaran bahawa untuk bahagia, hidup senang, mewah, kita tidak perlu memberi rasuah atau meminta pertolongan dari mana-mana manusia di muka bumi ini, kerana untuk membuka pintu rezeki yang tertutup, kita hanya perlu ketuk pintu itu dengan doa dan amalan.

Tapi bagaimana pula jika bidang perniagaan anda memaksa anda mengamalkan rasuah? Persoalan yang juga pernah bermain di minda saya. Persoalan ini terjawab apabila saya lihat perjalanan hidup seorang teman saya yang juga usahawan yang enggan mengamalkan rasuah sedangkan syarikat-syarikat lain yang menjadi saingannya menggunakan taktik itu. Pada mulanya memang banyak projek-projek yang terlepas sehingga dia katakan bahawa mungkin bidang perniagaan ini bukan bidang untuk dirinya. Setelah beberapa bulan, dengan izin Allah SWT dia telah mendapat satu cawangan francais untuk sebuah stesen minyak. Sekarang dia masih lagi dengan perniagaan lamanya tanpa mengamalkan rasuah dan bahagia dengan pendapatan yang diperolehinya.

Disini boleh kita lihat bagaimana rezeki itu Allah SWT kurniakan dalam bentuk yang pelbagai. Terpulanglah kepada kita menilai dan mensyukuri nikmatnya. Mungkin dalam hati anda merasakan bahawa untuk memiliki stesen minyak adalah suatu perkara yang mustahil, namun sebenarnya ada banyak lagi perniagaan yang tidak memerlukan kita untuk memberi rasuah. Kita boleh melibatkan diri dalam bidang makanan, servis gunting rambut, cuci kereta dan sebagainya. Jika dilakukan dengan niat dan besertakan dengan tawakkal, Insyaallah ianya akan membuahkan hasil dan memberikan kebahagiaan.

Rasuah dalam perniagaan 1

Saya tertarik apabila terbaca isu dari blog Malaysia Complain yang menulis mengenai rasuah dan puncanya. Pada pendapat saya biasanya rasuah ini melibatkan wang dan apabila ianya melibatkan wang maka ia akan begitu hampir dengan urusan perniagaan. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa rasuah telah menjadi budaya dalam masyarakat kita Malaysia. Bukan sahaja di Malaysia tapi diseluruh dunia mengamalkan budaya ini.

Dalam perniagaan di Malaysia, beberapa tahun dahulu semasa mula-mula berkecimpung dalam dunia perniagaan saya anggap rasuah/ duit kopi/ duit under-table ini adalah satu kemestian dalam perniagaan. Ketika itu saya berpendapat rasuah ini boleh membantu mengenali orang-orang penting, membantu mendapat projek, memudahkan perjalanan projek, melancarkan pembayaran projek dan dapat juga membantu memudahkan after sale servis yang dijanjikan. Pendek kata tiada apa yang tidak dapat dilakukan jika dihulurkan dengan sedikit wang ringgit.

Sepanjang proses pembelajaran dalam dunia perniagaan ini juga saya telah lihat pelbagai badan dan organisasi yang mengamalkannya. Tidak kiralah kastam, polis, imigresen, lembaga lada, KWSP dan yang paling mengejutkan Lembaga Masjid dan Baitulmal. Mungkin mereka boleh berselindung dengan menukarkan istilah rasuah itu dengan kata-kata lain seperti pertolongan/bantuan/hadiah/saguhati dan sebagainya. Namun "Niat tidak menghalalkan cara". Walaupun cara yang dilakukan betul tapi hendaklah disertai juga dengan niat yang betul. Soal kejelasan niat dalam sesuatu tindakan adalah rukun utama bagi segala apa yang kita lakukan. Setelah akidah seseorang itu selamat dan sejahtera, Islam meletakkan syarat utama bagi setiap amalannya pula adalah niat yang betul.

Nabi s.a.w bersabda:

“Setiap amalan itu hanyalah berdasarkan niat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Setelah saya perhatikan pelbagai ragam usahawan-usahawan yang saya temui, barulah saya fahami bahawa walaupun mereka berpendapat bahawa kerja atau projek akan berjalan lancar dengan rasuah. Namun yang membezakannya dengan projek tanpa rasuah adalah BERKAT. Mungkin ramai yang tidak mempedulikan tentang berkat kerana berkat tidak nampak dan tidak berupa. Oleh itu ramai yang ambil tidak kisah. Namun dari pengalaman saya yang sedikit ini, saya nampak perbezaan berkat dan tidak berkat. Biasanya saya lihat projek-projek yang ada mangamalkan rasuah itu akan timbul pelbagai masalah. Barang tak sampai-sampai, pihak ni bermasalah, kemalangan ini dan itu, bayaran tersangkut sebab masalah teknikal dan bermacam-macam lagi. Ada juga yang sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke BPR juga, yang menyedihkan ialah ada diantara tupai-tupai yang hanya insaf sekejap saja dan kemudiannya balik keperangai asal dan dengan bangganya menceritakan kejayaannya terlepas dari tangan BPR. Mungkin boleh terlepas dari BPR tapi ingatlah janji yang Allah SWT kerana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.

Jadi apakah jalan penyelesaiannya bagi kita usahawan-usahawan Islam yang enggan memberi rasuah?

bersambung.....

Tuesday, December 23, 2008

Hutang dan Mati

Dalam perniagaan seseorang usahawan tidak akan terlepas dari mengambil hutang. Hutang disamping boleh membantu sesebuah perniagaan, ianya juga boleh mendatangkan kerunsingan, resah gelisah dan mengganggu kerohanian jika tidak dilunaskan. Berikut antara maklumat dan sedikit penjelasan berkenaan dengan hutang dan kematian yang saya perolehi. Diharap dapat menjadi panduan dan bekalan kita semua.

Islam amat mengambil berat tentang kesejahteraan penganut-penganutnya baik dari segi fizikal iaitu melalui penjagaan dan amalan hidup yang bersih dan sihat mengikut pandangan dan ajaran Islam, bahkan juga dari segi kesejahteraan mental dan jiwa seseorang itu pun diberi perhatian oleh ajaran Islam, supaya setiap orang Islam itu jangan sampai setiap masa dalam keadaan fikiran yang runsing, kusut dan resah-gelisah, sehingga mengganggu bukan sahaja ketenangan hidup bahkan ketenangan dan kekhusyukan beribadat khasnya dalam ibadat sembahyangnya.
Mengikut ajaran Islam di antara perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit runsing atau tekanan jiwa (stress) ialah akibat dari menanggung beban hutang yang banyak.


Perlu diambil perhatian bahawa walaupun perbuatan berhutang itu tidaklah ditegah sekeras-kerasnya oleh Islam, akan tetapi apabila sampai kepada sikap cuba lari dari hutang iaitu dengan pengertian lain tidak mahu membayar hutang, maka perbuatan itu adalah suatu perbuatan zalim menurut Islam sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu dari Nabi SAW, Baginda bersabda: Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman.’’ Riwayat Al-Imam Al-Bukhari.

Salah satu kesan yang sangat menakutkan apabila hutang itu tidak dapat diselesaikan ialah bilamana orang yang masih menanggung hutang itu mati atau meninggal dunia dalam keadaan hutang yang belum habis diselesaikan dan ahli-ahli waris tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang si mati di mana mengikut sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bahawa orang yang mati dalam keadaan masih menanggung hutang, maka rohnya tidak akan sampai naik ke langit, ia hanya akan terapung-apung di antara langit dan bumi, sedangkan roh orang mukmin yang lain dapat naik ke langit untuk kembali ke tempat asalnya sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.’’ (Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).


Bahkan pernah berlaku satu peristiwa, di mana Rasulullah SAW pada mulanya tidak mahu menyembahyangkan jenazah seorang lelaki dari golongan Ansar apabila Baginda tahu bahawa lelaki itu masih ada berhutang dua dinar, lalu hutang lelaki itu dibayar oleh seorang sahabat bernama Fataadatal Ansari, maka barulah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyembahyangkan jenazahnya.

Di dalam satu kejadian lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah suatu hari telah duduk bersama para sahabat Baginda di tempat satu jenazah, maka Baginda mendongak atau mengangkat kepala Baginda ke langit kemudian meletakkan tapak tangan Baginda di atas dahi Baginda dan berkata: “Maha Suci Allah yang telah menurunkan suatu yang sangat dahsyat.’’
Pada keesokan harinya seorang sahabat telah bertanya kepada Baginda: Wahai Rasulullah apakah yang sangat dahsyat yang telah turun itu? Baginda bersabda yang bermaksud:

“(Yang turun dahsyat itu) ialah mengenai hutang maka demi diri Muhammad di tangan-Nya (Allah Subhanahu Wataala), kalaulah seorang itu mati di dalam perang Sabilillah kemudian dihidupkan semula kemudian mati lagi dalam perang Sabilillah, kemudian dihidupkan semula akan tetapi ia ada mempunyai hutang yang belum dibayar maka ia tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga sehinggalah hutangnya itu dibayarkan atau diselesaikan.’’ (Riwayat Al-Imam Ahmad).

Demikianlah akibat buruk orang yang menanggung hutang yang sengaja lari dari tanggungjawab membayar dan menyelesaikan hutang-hutangnya. Oleh itu jangan sampai ada yang menganggap kalau tidak membayar hutang dan ia mati maka hutang-hutangnya itu tidak akan mengejar di akhirat nanti. Ingatlah apa jua bentuk hutang dan walau di mana-mana jua pun semuanya itu akan menjadi penghalang untuk memasuki Syurga Allah di akhirat nanti - Siapakah yang tidak mahu Syurga Allah, kecuali mereka yang sombong dan takbur dengan perintah dan larangan-larangan Allah Subhanahu Wataala.


Walaupun Islam tidak menghalang kita berhutang, tetapi adalah elok jika kita dapat mengelakkan diri dari berhutang, apatah lagi jika berhutang kepada pemberi hutang yang mengambil kesempatan. Perlu diingat, berhutang memanglah senang tetapi membayarnya sangatlah susah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada mengajarkan doa hutang yang dibaca pada waktu pagi dan waktu petang, doanya ialah memohon kepada Allah Subhanahu Wataala akan memberikan perlindungan daripada hutang, doa tersebut ialah yang bermaksud:
“Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kesusahan dan kedukaan dan aku berlindung dari lemah dan tidak berdaya dan rasa malas dan aku berlindung dari sifat pengecut dan bakhil dan aku berlindung dari tenggelam dalam hutang dan tekanan (kezaliman) orang.’’
Apa yang menyebabkan seseorang itu menanggung hutang yang banyak ialah disebabkan biasanya kerana tidak tahu mengurus pendapatan atau wang yang diperolehinya, terutama sikap berbelanja yang berlebihan dan ingin hidup bermewah-mewah dan bergaya.


Sebenarnya Islam telah mengajar kita dalam soal berbelanja dan cara mengurus pendapatan ini. Andainya kita menghayati ajaran-ajaran Islam, sudah pasti kita tidak terjebak dalam timbunan hutang yang membelenggu kehidupan kita. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Furqan ayat 67 yang tafsirannya:

“Dan juga mereka yang diredai Allah itu ialah yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara itu (boros dan bakhil).’’

Ayat tersebut mengajar cara mengurus pendapatan atau kewangan kita, iaitu bagaimana sewajarnya kita membelanjakannya antaranya iaitu tidak bersikap bakhil terutama untuk memberi nafkah ke atas tanggungan kita. Begitu juga jangan berbelanja dengan cara membazir sehingga mendedahkan diri kepada hutang yang banyak, ini juga mengakibatkan diri sentiasa dibelenggu kerisauan apatah lagi jika sampai diisytiharkan 'muflis' atau bankrap yang mendatangkan kehinaan diri di mata masyarakat.

Oleh itu sebagai seorang Islam biarlah kita hidup dengan sifat kanaah iaitu sifat hidup berpada dan bersederhana dalam memenuhi keperluan hidup seharian. Ukurlah baju di badan sendiri, ingatlah kekayaan sebenar seseorang itu bukan terletak pada hartanya akan tetapi adalah di dalam hidup yang bersifat kanaah iaitu yang bersederhanaan dalam hidup.

Firman Allah dalam Surah Al-Israa' ayat 26 - 27 yang tafsirannya:
“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.’’

Sunday, December 21, 2008

Kepentingan cara permakanan yang sihat

Cara permakanan yang sihat menjamin tubuh badan yang sihat. Jika kita lihat pada masa sekarang makanan seperti serat serta sayur-sayuran semakin sukar untuk diperolehi di gerai-gerai. Ini kerana sayur dan buah mudah rosak atau layu dan ini membuatkan para pengusaha makanan kurang gemar untuk menyajikan makanan-makanan seumpama itu. Walaupun ada sebilangan yang menjualnya, namun harga yang dikenakan agak mahal sedikit dan ini secara automatik akan membuatkan pembeli lebih gemar memilih makanan seperti ayam, kerang atau nasi lemak.

Apabila ini berterusan, lama-kelamaan hidangan sayur dan makanan berserat akan berkurangan dan menjadi bertambah mahal. Ini secara langsung akan membuatkan kita sebagai pembeli mengamalkan gaya permakanan yang tidak sihat.

Penyelesaian adalah kesedaran dan sedikit usaha sendiri untuk mendapatkan makanan seimbang yang lebih berkhasiat. Belilah sayur-sayuran dan masaklah sendiri di rumah. Janganlah kita hanya mengambil langkah mudah dengan tidak memikirkan akibat dan komplikasi yang mungkin kita hadapi di masa akan datang. Kesihatan kita adalah rahmat terbesar yang Allah SWT berikan. Ingatlah kata pepatah "Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian".

Saturday, December 20, 2008

Remaja Islam kurang pendedahan agama

Pada masa sekarang pelbagai gejala sosial berlaku di kalangan remaja. Ini amat menyedihkan kerana dari jumlah keseluruhan ianya melibatkan banyak remaja-remaja Islam.

Kekurangan pendedahan tentang Islam dan tidak dibesarkan dalam cara hidup Islam merupakan punca utama tragedi ini. Jika perkara ini ditangani dengan lebih awal, banyak masalah yang dihadapi sekarang dapat di atasi. Kalau melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Dalam kes ini, rebungnya bukanlah golongan remaja tapi ibubapa atau penjaga kepada remaja tersebut.

Jika boleh ibubapa diberikan didikan, bantuan serta panduan yang sepatutnya. Kenalpasti masalah yang dihadapi dan cuba cari jalan penyelesaian. Ibubapa juga harus diajar bagaimana pendekatan yang harus di gunakan untuk mendidik golongan remaja tersebut. Pada usia remaja jiwa mereka lebih gemar untuk memberontak dan mencuba sesuatu yang baru. Jadi untuk membentuk mereka ini, pendekatan yang lebih lembut dengan memahami kehendak mereka harus digunakan.

Saya lihat apa yang kita lakukan sekarang hanya cuba menyelesaikan kesan masalah dan bukannya punca masalah yang sebenar. Saya yakin jika berjaya mendidik satu lapisan generasi ibubapa, kesannya dapat dirasai untuk beberapa generasi yang akan datang. Insyaallah.

Thursday, December 18, 2008

Hari ini tak bentuk kerajaan, Esok harga minyak turun juga

Bila saya lihat kejadian penurunan harga minyak, saya akan teringatkan debat diantara DSAI dengan Shabery. Memang melucukan bagaimana kerajaan yang dijanjikan oleh DSAI untuk dibentuk, tak juga menunjukkan bentuk tapi harga minyak tetap turun tanpa DSAI.

Langkah kerajaan kita untuk menaikkan harga minyak adalah wajar memandangkan harga minyak yang melambung tinggi ketika itu dipasaran. Jika harga minyak terus naik ketika itu dan kerajaan masih menanggung beban subsidi minyak, mungkin kekacauan ekonomi boleh berlaku. Kenaikan harga minyak hanyalah sebagai langkah selamat untuk menjamin kestabilan ekonomi negara. Jika beban yang berlebihan ditanggung, negara mungkin terpaksa akur kepada pihak-pihak yang sentiasa menunggu untuk mengambil kesempatan 'menolong' negara kita. Jika berlaku sedemikian rupa maka kemampuan kita untuk maju dan berkembang akan tersekat untuk beberapa tahun yang akan datang.

Jadi janganlah kita bertindak dengan terburu-buru hanya kerana harga minyak naik. Anggaplah kenaikan harga yang kita bayar itu adalah untuk membantu negara. Anggaplah juga harga dan pengorbanan yang kita bayar itu hanyalah amaun yang sangat kecil kalau dibandingkan dengan pejuang-pejuang negara pada masa lepas yang sanggup berkorban nyawa dan darah mereka demi negara.

Wednesday, December 17, 2008

ISLAM DAN PERNIAGAAN

Untuk renungan usahawan-usahawan Islam :
http://permai1.tripod.com/etika.html



Islam adalah satu cara hidup yang lengkap dan sempurna(ad-Din). Ia menyediakan peraturan dan garis panduan untuk manusia dalam segala aspek ehidupan manusia termasuk bidang perniagaan. `Tidak Kami abaikan sesuatu pun dalam Al-Kitab'


Tujuan peraturan dan garis panduan ini adalah untuk memastikan kemaslahatan manusia dapat di pelihara dan segala unsur yang boleh merosakkan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat di halang.


`Dan tidak kami utuskan kamu( wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk seluruh alam'


Sudah semestinya agama serta peraturan dan garis panduan yang terkandung di dalam nya yang dturunkan oleh Maha Pencipta kepada manusia adalah lebih baik daripada peraturan yang di sediakan oleh manusia itu sendiri yang mempunyai serba kelemahan `Manusia itu di ciptakan lemah' Oleh itu tanggungjawab manusia di muka bumi adalah untuk menjalankan amanah menegakkan agama Allah SWT dan peraturan serta hukum-hukumnya termasuklah memanfaatkan segala sumber-sumber semulajadi dan lainya yang di cipta oleh Allah mengikut apa yang di tetapkan oleh Allah untuk kebaikannya dan makhlok lain kerana dia akan di pertanggungjawabkan di depan Allah SWT di hari pembalasan nanti.


Berdasarkan Al-Quran, Hadis dan sirah Rasulullah s.a.w jelas bahawa Islam menggalakkan perniagaan. Malah adalah suatu hakikat bahawa perkembangan dunia Melayu dan perniagaan Islam merupakan dua perkara yang tidak dapat di pisahkan. Sejarah bangsa Melayu telah mempamirkan satu hubungan yang begitu jelas antara keduanya. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kejayaan bangsa Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan bermula dengan keberkesanan perlaksanaan sistem ekonomi Islam dalm bentuknya yang tersendiri pada awal abad 15 dengan tersebarnya agama Islam dan terbinanya Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sebagaimana yang dapat di kaji dalam dokumen-dokumen sejarah seperti Tuhfat al-Nafis, Undang-Undang Melaka, Undang-Undang Pahang, Suma Oriental of Tome Pires, The Book of Duarte Barbosa, Rihlah Ibn Batuta, Undang-Undang Laut Melaka dsbnya.


Falsafah Umum


Falsafah umum perniagaan yang menjadi asas kehidupan Muslim.


Falsafah ialah pegangan individu atau masyarakat mengenai ketuhanan, manusia, kebahagiaan dan persoalan-persoalan asas kehidupan. Falsafah ini akan menentukan sikap seseorang itu terhadap dirinya, orang lain dan kerjanya. Sikap ini akan memberikan kesan terhadap tindakan dan gelagatnya dalam mengendalikan kerjanya.

Tuesday, December 16, 2008

Buat duit dengan hanya duduk dirumah

Pada masa kini teknologi berkembang dengan pesatnya sehingga ada yang mampu untuk mencari nafkah dengan hanya duduk dirumah. Penggunaan teknologi dan maklumat yang boleh di akses tanpa had ini membuka peluang kepada laman-laman web untuk beroperasi sebagai kedai maya tanpa wujud sebarang premis fizikal. Ini menjimatkan tenaga dan kos yang besar. Jika dulu modal untuk membuka sebuah kedai bunga mungkin mencecah RM50 000 tapi sekarang sebuah kedai maya hanya akan memakan belanja RM10 000. Target pasaran yang dulunya hanya masyarakat setempat, kini menjangkau keseluruh dunia dengan adanya jaringan internet.

Kedai maya telah menjadi trend semenjak 3 ke 4 tahun lepas dan usahawan Malaysia juga tidak ketinggalan dalam gelombang permodenan ini. Ada dikalangan mereka yang telah menjadi jutawan dengan hanya mengusahakan perniagaan maya.

Sebenarnya untuk membuka sebuah perniagaan maya tidaklah sesusah yang disangka. Kebanyakkan daripada kita hanya kekurangan pengetahuan mengenai cara-cara untuk memulakan perniagaan maya ini. Jika kita luangkan masa untuk membuat sedikit kaji selidik atau beli buku mengenai perniagaan maya ini, kita akan dapati bahawa ianya mempunyai potensi yang baik untuk maju.

Langkah pertama adalah niat, jika itu sudah ada maka lambat-laun ia pasti akan membuahkan hasil.