Di petik dari:
http://www.usahawan.org/index.php?env=-innews/detail:m27-1-1-3:l0-0-0:n14-0-0:bb0-0-1-1-1-0
Dunia perniagaan dalam apa bidang sekalipun akan menghidangkan kepada kita seribu macam ujian? Ada kalanya ujian itu datang boleh dielak tapi adakalanya tidak boleh dielakkan lagi, namun ada juga yang sengaja mahu mencuba-cuba dan akhirnya tidak mampu dan kalah. Maka di sinilah pentingnya peringatan dari saudara kita yang lain dan kami sangat mengharapkan agar laman usahawan ini juga dapat memainkan peranan yang sangat mulia ini.
Kali ini saya cuba mengutip beberapa kalimat yang disusun oleh Dr. Yusuf Qardhawi dalam bukunya Daurul Qiyam wal Akhlaq fil Iqtisyodil Islami (Peranan Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam - terbitan Robbani Press, Jakarta). “Kelemahan paling dasar yang dilakukan oleh para pengusaha ialah melupakan diri dengan kebiasaan hidup seharian dengan kebendaan, angka-angka dan pendapatan. Akibatnya para pengusaha semakin jauh dari mengingati keagungan dan kebesaran Allah bahkan ada yang sudah begitu jauh hingga dalam hatinya tidak ada lagi kehidupan akhirat, halal haram, pahala dan syurga, seksa dan neraka.”
Para pengusaha sekalian, Apakah persediaan kita untuk ke akhirat? Imam Al Ghazali ada menulis dalam Ihya’ di bab yang kelima, apa katanya;
“Tidak sepatutnya bagi seorang pengusaha disibukkan oleh mata pencariannya dari akhiratnya, sehingga umurnya akan sia-sia dan perniagaannya akan rugi. Bahkan akan hilang keuntungan akhiratnya dan tidak dapat ditebus dengan apa yang ia peroleh di dunia kerana dia telah menjual kehidupan akhirat dengan kehidupan dunia. Tetapi orang yang waras akan menyayangi dirinya, iaitu yang memelihara modalnya. Modalnya adalah agamanya dan keselamatannya dalam agama. Sebahagian ulama salaf berkata, “ Sesuatu yang paling utama bagi seseorang yang berakal adalah apa-apa yang yang paling diperlukannya dalam kehidupan ini. Sedangkan sesuatu yang paling diperlukannya dalam kehidupan dunia adalah sesuatu yang paling terpuji akibatnya dalam kehidupan akhirat.`
Inilah gambaran hidup seorang pengusaha biasa bagi seorang ulama’ mu’tabar. Pengusaha yang berjaya pada pandangan kita biasanya diukur dari nilai benda yang terlihat dengan mata tapi berbeza dengan Imam alGhazali dan orang mukmin yang lain. Dari sinilah timbulnya percaya diri,ikhlas,taat,komitmen,jihad,pengorbanan dan lain-lain yang diasaskan dari penilaian tadi. Abu Bakar, Usman, Abd Rahman bin Auf dan sahabat lain sukses kerana yakin dengan janji Allah di akhirat nanti sehingga apa saja yang diminta oleh Allah dan Rasul, tidak pernah mereka katakan “NO” tapi terus dengan “YES” dan mengalirlah harta benda mereka demi Allah dan Rasul. Inilah kehidupan contoh selamanya buat kita para pengusaha Muslim yang tidak akan terpisah walau sesaat dari aturan Islam yang syumul dan iman haqiqi yang mendominasi kehidupan kita.
Kata White Rabbit:
Dapat kita baca disini betapa pentingnya mengingati akhirat dalam kesibukan dunia keusahawanan yang kita jalani. Saya lihat teman-teman seperjuangan saya kebanyakkannya tumpas dalam ujian-ujian yang diberi oleh Allah SWT di dunia keusahawanan ini.
Ketika mereka dilanda kesusahan, kekurangan wang dan kesempitan hidup, mereka selalu mengingati Allah SWT, bersembahyang dan berdoa. Ketika itu hubungan kekeluargaan yang mereka ada diantara suami isteri dan anak-anak cukup akrab dan rapat sekali. Apabila dicurahkan dan dibentangkan Allah SWT dengan kemewahan serta perniagaan yang baik, amalan dan sembahyang mula ditinggalkan. Suami isteri sering bergaduh sehingga dua daripada teman saya ini dalam usia yang begitu muda bercerai. Kasih sayang entah ke mana? Anak entah apakah nasibnya?
Jadi baiklah kita sesama muslim ini ingat mengingati, sebenarnya ujian kemiskinan itu bukanlah ujian yang sukar dan ramai yang boleh bangkit darinya. Ujian yang sebanar-benarnya menguji keimanan kita dan yang paling menggerunkan adalah ujian kemewahan dan ujian kuasa. Itulah saat dan waktunya kita menghadapi cabaran-cabaran seperti rasuah, arak, perempuan, dadah dan bermacam lagi. Oleh itu apabila kita diberikan Allah SWT dengan kemewahan dunia ini, cepat-cepatlah kita bersyukur dan sentiasa mengingatiNya supaya kita tidak terpesong dan lalai sehingga tersesat.
Kini saya lebih peka dengan permasalahan ini kerana melihat dengan mata sendiri kejadian yang menimpa teman-teman saya. Rumahtangga yang dulunya bahagia dengan ketiadaan wang tapi sekarang porak peranda ketika memiliki kesemua yang mereka ingini. Analisa saya mungkin dengan adanya wang mereka mula melupakan Allah SWT, lupa berterima kasih padaNya dan lupa berdoa. Mungkin mereka rasa apa yang mereka rasai dan nikmati adalah hasil titik peluh mereka semata-mata. Mungkin Allah SWT ingin menyedarkan mereka namun mereka masih tidak nampak. Teman-teman saya semakin galak merosakkan diri mereka dengan melakukan kerja-kerja yang terlarang. Perniagaan mereka semakin banyak menghasilkan duit. Namun mereka semakin jauh tersesat melayan perasaan kecewa dengan kehidupan dunia yang sementara sedangkan kehidupan akhiratlah yang kekal. Doa saya agar mereka balik ke jalan yang diredhai sebelum semuanya terlambat.
Kesimpulannya ini membuktikan kekayaan bukanlah segalanya dan kemewahan jika tidak disertakan dengan keimanan boleh menjadi ujian Allah SWT yang paling mencabar untuk manusia.
Salam,satu blog yang sangat bermanfaat,harap2 lepas ni saudara sudi ke blog saya dan memberi komen mengenainya. :)
ReplyDeletehttp://blogahmadtarmizi-miji.blogspot.com/