Tuesday, January 20, 2009

Vitamin M part 2

Walaupun begitu, penyakit ini boleh diubati. Tidak perlu kita pergi ke doktor untuk meminta ubat itu dan ini. Ini kerana ianya bukanlah masalah fizikal yang boleh diubati dengan ubat-ubatan yang kadangkala memudaratkan. Langkah pertama untuk mengatasi penyakit malas ini adalah langkah yang paling mudah yang biasanya disebabkan ianya terlalu mudah kita selalu terlepas pandang.


Langkah itu ialah kehendak untuk mengubatinya atau kehendak untuk berubah (desire to change). Tanpa kehendak atau niat, sesuatu yang dilakukan akan hilang momentum dan fokus apabila ianya berhadapan dengan cabaran dan dugaan. Sebab itulah di dalam Islam, setiap perlakuan yang ingin kita lakukan, kita harus mulakan dengan niat. Ianya menjadi suatu rukun dan kewajipan ketika hendak sembahyang, mengambil air sembahyang, menunaikan haji dan banyak lagi. Di sini boleh kita lihat betapa pentingnya niat dalam melakukan sesuatu perkara yang telah diketahui dan diamal sejak dahulu lagi.

Apabila niat sudah dibulatkan dan ditetapkan, maka peralatan seterusnya yang perlu kita miliki adalah pemikiran yang positif. Pemikiran yang positif adalah penting untuk menguatkan lagi tujuan atau niat yang telah ditetapkan. Pemikiran positif membantu kita mengatasi masalah dan halangan yang mungkin timbul. Ia membuatkan kita lebih cekal dan mudah menyelesaikan masalah.


Perkara ketiga dan terakhir yang perlu ada bagi mengubati penyakit malas adalah disiplin diri. Dalam apa jua tujuan yang hendak dilakukan kita haruslah berdisiplin ketika melakukan rancangan yang telah dibuat untuk mencapai tujuan tersebut. Kita harus ingat bahawa jika kita lebih keras dengan diri sendiri barulah dunia akan manjakan diri kita. Tapi jika kita manjakan diri kita maka dunia pula akan keras terhadap kita.

Saturday, January 17, 2009

Vitamin M part 1

Apa itu vitamin M? Adakah ianya untuk mata atau untuk kecantikan muka? Mungkin untuk menambahkan kecergasan?

Sebenarnya Vitamin M disini bukanlah vitamin M yang boleh anda baca dalam wikipedia. Ianya bukan asid folik tapi ianya adalah istilah yang saya ambil dari seorang guru yang pernah mengajar saya ketika dibangku sekolah dahulu.

Vitamin M adalah satu penyakit mental. M bermaksud MALAS. Penyakit yang biasa dihadapi oleh kebanyakkan orang. Malas didifinisikan sebagai keengganan seseorang melakukan sesuatu yang seharusnya atau sebaiknya dilakukan.

Penyakit malas ini timbul apabila kita berasa terlalu selesa dengan keadaan semasa kita. Iaitu kita berada dalam zon selesa (comfort zone). Untuk keluar dari zon selesa ini, ianya akan menjadi susah disebabkan oleh zon selesa yang akan sentiasa menarik kita kembali kepadanya. Ketika itu muncullah pelbagai pemikiran negatif yang membantu atau memberi alasan untuk kita sentiasa tinggal di dalam zon selesa. Apabila ini berlaku kejayaan amat sukar untuk diperolehi dalam apa jua bidang dan perkara yang dilakukan. Bersambung....

Friday, January 16, 2009

Banjir

Kebelakangan ini bandaraya Kuching sering mengalami masalah banjir. Banyak jalan-jalan yang tutup dan banyak penduduk yang perlu dipindahkan ke penempatan sementara. Sebagai penduduk tempatan saya turut berasa simpati dengan mangsa-mangsa banjir yang ada dikalangan mereka yang hanya tinggal sehelai sepinggan.

Dari apa yang diceritakan oleh seorang pegawai pertahanan awam yang saya kenali, terdapat sebuah keluarga yang ditimpa bencana banjir dan setelah mereka sekeluarga balik ke rumah, di timpa pula lagi dengan kebakaran yang menjilat habis rumah dan harta benda mereka. Ini terjadi akibat pendawaian rumah yang dihidupkan ketika ianya masih basah akibat banjir.

Seharusnya kita mesti lebih berhati-hati apabila menggunakan alatan elektrik setelah rumah ditelenggami air. Sistem pendawaian rumah sepatutnya diservis atau di buat pemeriksaan terlebih dahulu oleh pihak yang arif tentang pendawaian elektrik. Biarlah kita berbelanja lebih sedikit untuk keselamatan sekeluarga.

Monday, January 12, 2009

Remeh Temeh?

Kadangkala saya terfikir juga mengapa sekali-sekala kita akan ditimpa bencana, kemalangan atau masalah yang tidak diduga. Kita akan berasa sedih, hampa atau kadang-kadang putus asa. Setelah umur semakin meningkat dewasa saya mulai sedar bahawa bencana, kemalangan dan masalah, mengajar kita lebih memahami erti redha, syukur dan ianya mengingatkan kita sesungguhnya Allah swt itu maha adil. Mungkin setiap yang kita ambil kita harus beri sesuatu untuk balasnya kerana sesungguhnya Allah swt juga maha mengetahui setiap apa yang kita lakukan.

Kita tanpa sedar rasakan bahawa kita boleh terlepas dengan benda remeh temeh atau kesalahan-kesalahan kecil yang kita lakukan, mungkin kerana kita tidak dihakimi, dihukum atau tiada yang melihat ketika kita melakukannya. Namun Allah swt juga maha melihat, saya percaya kesalahan-kesalahan kecil seperti memotong giliran ketika dijalanraya atau di bank juga akan mendapat balasan. Mungkin bukan serta merta dan mungkin bukan situasi yang sama tapi ia tetap akan ada balasnya. Begitu juga hak atau rezeki orang lain yang kita ambil atau simpan tanpa persetujuan pemiliknya, juga seperti itulah rezeki kita akan diambil atau disimpan pula oleh orang yang lain.

Bukanlah maksud saya bahawa kita harus menjadi seorang manusia yang sempurna, tapi sebaik-baiknya setiap perlakuan yang jahat dan salah itu biarlah dihindarkan baik yang kecil mahupun yang besar. Insyaallah.

Thursday, January 8, 2009

Budaya Malaysia

Ketika di China, saya perhatikan bagaimana ianya berbeza dengan negara kita Malaysia. Bermacam-macam aspek saya lihat dan bandingkan. Mungkin dari segi usaha, pembangunan, kerajinan dan kemudahan masyarakat dan negara kita agak kurang. Namun dari segi budaya dan budi pekerti saya amat bangga dengan negara dan masyarakat kita Malaysia.

Sememangnya setiap negara atau bangsa mempunyai budaya tersendiri masing-masing. Namun begitu perbezaan yang ketara diantara Malaysia dan China adalah negara kita mengamalkan budaya yang kita warisi seharian manakala masyarakat China pula hanya menyimpan budaya mereka sebagai khazanah yang boleh dilihat di muzium atau dari persembahan kebudayaan.
Budi pekerti yang baik walaupun hanya dalam bentuk senyuman merupakan perbezaan yang ketara di negara kita. Kita juga biasa dengan sebutan terima kasih atau thank you yang juga membezakan kita dengan masyarakat dunia. Saya perhatikan di China dan negara-negara lain, dalam kesibukan mengejar kejayaan dunia mereka lupa akan identiti sebenar mereka.

Di Malaysia dari pemandu teksi hingga ke pegawai kastamnya, walaupun sibuk dan penat seharian bekerja, masih mampu melemparkan senyuman kepada pelanggan mereka. Ketika di China, pernah juga beberapa kali rombongan saya ditengking oleh pemandu teksi kerana kami tidak faham bahasa kantonese yang dicakapkannya dan dia juga tidak faham bahasa mandarin dan inggeris yang kami sampaikan. Mereka sentiasa hendak cepat untuk mengaut keuntungan yang lebih sehingga mereka lupa bahawa “Bahasa mencerminkan bangsa”. Begitu juga dengan pegawai kastam dan imigresen mereka yang bermuka masam seolah-olah dipaksa bekerja.

Saya bersyukur masyarakat negara kita Malaysia masih mempunyai nilai budaya yang tinggi tidak kira Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa yang lain. Dengan adanya nilai-nilai ini, saya yakin ia mampu memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh pengunjung-pengunjung negara kita yang secara langsungnya akan meningkatkan kemajuan sektor pelancongan dan memperhebatkan lagi ekonomi negara.

Tuesday, January 6, 2009

China

Hujung tahun lepas saya telah ke China untuk pergi bercuti. Pada mulanya bermacam-macam imej tentang China yang dibayangkan. Pada keseluruhannya imej yang berada dalam fikiran adalah sebuah Negara yang kekampungan seperti yang selalu dilihat dalam drama-drama Cina yang kita tonton di televisyen.

Namun setelah tiba di sana dan melihat Bandar seperti Shenzen dan Zhuhai, persepsi saya mengenai China berubah sama sekali. China adalah sebuah negara yang pesat membangun. Pesat disini bermaksud sangat-sangat cepat. Shenzen yang dahulunya hanya sebuah perkampungan nelayan, dengan hanya memakan masa 20 tahun mampu membangun dan menjadi sebuah bandar yang paling pesat membangun didunia. Apabila berada sendiri disebuah bandar yang dikatakan paling pesat membangun itu, barulah saya mengerti erti sebenar “pesat” yang dimaksudkan.

Keadaan dibandar penuh dengan manusia yang muda-muda belaka. Jarang saya nampak penduduk yang agak berusia. Kesemua pemuda-pemudi ini datang ke Bandar tersebut semata-mata untuk mencari rezeki dan wang. Pergerakan dan tingkahlaku mereka seakan-akan sentiasa mengejar masa. Jarang ada yang bergerak tanpa arah tujuan. Mereka bergerak dengan pantas dan sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan wang dengan apa cara sekalipun.

Dari ribuan penduduk yang saya temui dan lihat di Bandar tersebut, hanya segelintir sahaja yang berbadan gemuk atau gempal. Bilangan mereka dapat dikira dengan jari yang selebihnya semuanya kurus-kurus belaka tidak kira lelaki atau perempuan. Bagi mereka, mereka mengkelaskan orang-orang yang berbadan gempal ini orang-orang yang berada dan hidup mewah.

Peristiwa yang menarik minat saya adalah ketika malam tahun baru, saya bertanya kepada seorang pekerja kedai, dimana mereka menyambut tahun baru/cuti? Pekerja tersebut tersenyum dan jawab dalam bahasa inggerris, “Kami tak ada cuti, dalam satu tahun kami hanya cuti satu hari iaitu pada tahun baru cina.” Penjelasan yang mencerminkan perbezaan yang ketara dengan Negara kita Malaysia. Samada kita harus bersyukur dengan cuti yang banyak atau tidak, itu bergantung kepada pendapat masing-masing. Tapi bagi saya, jika cuti yang kita ada adalah 30% dari 369 hari iaitu setahun, dalam masa sepuluh tahun jika dibandingkan dengan China, kita akan ketinggalan selama 3 tahun. Kalau 20 tahun? Sudah tentu 6 tahun telah dibazirkan.
Fikir-fikirkanlah wahai bangsaku.

Friday, January 2, 2009

2009

Selamat menyambut 2009. Sempena tahun baru ini, saya mulakan dengan wajah baru untuk blog saya semoga ianya mampu memberikan nafas baru kepada semangat perjuangan saya dan usahawan-usahawan Malaysia yang lain.

Azam saya untuk tahun baru adalah untuk sentiasa cekal dalam bidang keusahawanan dan harapan saya agar rezeki yang diperolehi melimpah-limpah untuk tahun 2009 ini. Amin.