Pada mulanya minat untuk menceburi bidang keusahawanan bermula ketika saya sedang menjalani praktikal di Sabah Eletric Sdn Bhd. Seperti biasa bagi budak praktikal, kerja yang diberi tidak berat dan banyak masa yang terluang. Kebetulan pada masa itu teman seuniversiti saya membawa sebuah buku bertajuk Rich Dad Poor Dad. Buku tersebut mengisahkan bagaimana penulis melalui masa mudanya dengan dua orang bapa. Seorang bapa hidup mewah bekerja sebagai usahawan dan seorang lagi hidup sederhana bekerja dengan orang lain. Semenjak itu saya mula gemar membaca buku-buku motivasi, buku-buku untuk perkembangan diri dan buku-buku berkaitan dengan keusahawanan. Setelah tamat pelajaran, saya terus berkecimpung dengan bidang keusahawanan walaupun mendapat tawaran sebagai pembantu penyelidik di universiti tempat saya belajar. Bagi saya inilah peluang untuk belajar ilmu yang tidak mungkin dapat dipelajari di mana-mana universiti. Belajar untuk jatuh, dan belajar untuk bangun semula setiap kali kita jatuh. Saya juga fikir inilah peluang saya bergaul, bertanya dan memahami minda-minda usahawan yang sentiasa aktif, kreatif dan cekal.
Walaupun mengharungi pelbagai rintangan, leteran keluarga dan kegagalan, namun hati saya puas memilih kerjaya ini. Dari segi kestabilan pendapatan atau kelebihan harta, mungkin saya jauh ketinggalan berbanding teman-teman sebaya saya. Tapi dari segi perkembangan minda, gaya pemikiran yang berbeza, teman-teman yang saya kenali, dan pengalaman yang saya tempuhi, semuanya tidak ternilai harganya.
Pernah saya pergi ke satu kursus keusahawanan yang menerangkan sifat-sifat seorang usahawan. Ada 13 semuanya:
1) Daya inisiatif yang tinggi
2) Mampu melihat dan merebut peluang
3) Kecekalan yang tinggi
4) Menitikberatkan mutu kerja yang tinggi
5) Keupayaan mencari maklumat
6) Komited terhadap perjanjian kerja
7) Orientasi ke arah kecekapan
8) Perancangan yang sistematik
9) Mampu menyelesaikan masalah
10) Keyakinan diri yang tinggi
11) Ketegasan
12) Kemampuan meyakinkan orang lain
13) Menggunakan strategi pengaruh
Di antara 13 kompetensi ini, sikap yang paling penting pada seorang usahawan ialah kecekalan yang tinggi. Sebab modal, peluang atau masalah tidak semestinya ada. Cuma kecekalan yang mesti sentiasa ada untuk meneruskan perjuangan. Walaupun tanpa keyakinan, tanpa pengaruh dan tanpa perancangan, kecekalan harus tetap ada dalam jiwa setiap usahawan. Ramai yang tewas kerana kurang sikap ini. Ramai yang mengalah bila berhadapan dengan dugaan yang datang. Saya bersyukur kerana masih mampu bertahan dan saya bersyukur kerana mempunyai teman-teman yang sedia membantu dan pemberi semangat dikala di dalam kesusahan.
Bagi usahawan-usahawan lain, diharap teruskanlah perjuangan memartabatkan bangsa kita di mata dunia dan janganlah mudah putus asa. Berusahalah, sesungguhnya Allah SWT maha pengasih lagi maha penyayang.
No comments:
Post a Comment