Hari ini saya pergi menjenguk ke kedai peralatan sukan saya untuk membuat beberapa rak untuk beg-beg. Di sana saya ada seorang pekerja bernama Man berusia 18 tahun yang ditugaskan untuk menjaga kedai. Semasa bekerja saya perhatikan setiap selang 10 minit si Man akan menyalakan sebatang rokok. Sungguh ketagih saya lihat Si Man dengan rokoknya. Ingin juga saya menegurnya tapi bukan hak saya untuk berbuat demikian.
Apabila melihat Si Man saya teringat sebuah kisah yang pernah diceritakan kepada saya ketika saya belasan tahun dulu. Ceritanya berbunyi begini, 50 tahun dahulu ada dua orang belia iaitu belia A dan belia B. Mereka bekerja sebagai penurap jalan, ketika itu seingat saya gaji mereka hanya 20 ke 30 ringgit sahaja sebulan. Dari segi pengalaman kerja dan kemahiran belia B jauh lebih handal dari belia A. Belia B juga punyai pengetahuan yang luas dalam bidang agama dan selalu dijemput ke majlis-majlis kenduri untuk membaca doa. Namun mereka berkawan baik, tolong-menolong dan sentiasa nasihat-menasihati.
Walaupun handal dalam banyak perkara, belia B mempunyai tabiat merokok yang teruk. Sekali-sekala ada juga ditegur oleh belia A tentang tabiat tersebut. Bagaimana rokok membahayakan kesihatan dan membazirkan wang. Namun belia B hanya memekakkan telinga.
Satu hari belia A mengajak belia B untuk pergi meluaskan sebuah kawasan paya untuk memohon geran tanah dari jabatan tanah dan ukur. Ketika itu bayaran pemohonan hanya beberapa ringgit sahaja. Namun kerana tidak cukup wang untuk membeli rokok belia B menolak ajakan tersebut dan mangatakan bahawa tanah paya tersebut tidak berpotensi untuk maju dan usaha belia A hanya sia-sia. Tanpa mengendahkan belia B, belia A terus dengan niatnya meluaskan kawasan paya tersebut.
Setelah 30 tahun berlalu, belia A dan belia B pun telah berumur dan pencen. Mereka bertukar-tukar tempat kerja namun berjumpa semula di sebuah kenduri. Ketika itu belia A sudah hidup dengan mewah dan belia B masih hidup sederhana. Belia A menerangkan bahawa tanah yang telah diluaskannya 30 tahun dahulu telah menjadi kawasan kilang yang pesat membangun. Tanah miliknya telah disewa oleh sebuah syarikat pengeluar baja yang besar dan setiap bulan dia memperolehi hasil yang lumayan daripada sewaan tersebut. Belia A menerangkan kepada belia B, kalaulah dia korbankan duit rokoknya 30 tahun dahulu mungkin sekarang belia B dah boleh ditimbunkan dengan rokok. Belia B hanya mampu tersenyum dan diwajahnya terpampang perasaan menyesal. Apabila dikenangnya kembali waktu silamnya, alangkah baiknya jika dia tidak merokok dan menguatkan semangatnya untuk berhenti ketika usia mudanya dahulu.
Ketika hari berjumpa belia A itu, belia B tidak lagi boleh merokok kerana disebabkan merokok dia mengalami masalah paru-paru yang kronik. Akibat daripada merokok dia terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan dua kali sehari, hidupnya tidak mewah seperti temannya belia A dan bacaan doa serta bacaan Al-Qurannya pun terganggu disebabkan nafasnya yang terputus-putus. Sekarang belia B sudah pun meninggal dunia dan di penghujung hayatnya dia sentiasa mengingatkan saya agar jangan sesekali merokok. Belia B ialah mendiang datuk saya yang telah meninggal pada 13 Mac 2005. Al fatihah dan semoga kita ambil iktibar dari pengalamannya. Insyaallah.
salam aidil fitri.
ReplyDeleteAl-Fatihah....!!!
ReplyDelete