Friday, March 20, 2009

10 Amalan Punca Utama Pembaziran Petrol

Dengan harga pasaran petrol yang tidak menentu pada masa kini, sudah pastilah kita sentiasa mahu memastikan yang kita mengamalkan aktiviti penggunaan petrol yang optimum. Tetapi ramai daripada kita yang tidak menyedari ada di antara amalan-amalan seharian yang dilakukan sebenarnya menyumbang kepada pembaziran petrol. Berikut adalah 10 amalan utama yang menyebabkan pembaziran berlaku yang telah dipetik dari pekeliling stesen minyak.

1. Tidak memasang penghawa dingin ketika memandu
ramai diantara kita yang beranggapan bahawa memasang penghawa dingin semasa memandu hanya akan meningkatkan penggunaan petrol. Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa pembaziran minyak lebih banyak terjadi apabila terdapatnya rintangan aerodinamik, lebih-lebih lagi jika tingkap kereta diturunkan. Jadi semasa menyusuri lebuhraya, pasangkan sahaja penghawa dingin dan tutupkan tingkap kenderaan anda rapat-rapat.

2. Membiarkan enjin terpasang tanpa bergerak
membiarkan enjin kenderaan anda terpasang tanpa bergerak hanya akan mengakibatkan pambakaran gas yang sia-sia. Dengan penggunaan enjin moden dengan suntikan bahan api, ianya hanya memerlukan jumlah petrol yang sangat sedikit untuk menghidupkan enjin kereta yang sudah dipanaskan. Usah bimbang untuk menghangatkan enjin kereta anda sebelum mula memandu. Anda boleh mula memandu dengan serta merta sebaik sahaja menghidupkan enjin kereta, tetapi pastikan ianya dilakukan dengan perlahan-lahan sehinggalah enjin anda mulai panas.

3. Mengabaikan servis kenderaan
menghantar kenderaan anda untuk diservis bukan sahaja menukarkan benda-benda seperti penapis udara dan minyak, tetapi ianya juga berguna untuk mengenalpasti bahagian-bahagian dalaman kenderaan yang mungkin sudah tidak berfungsi. Kerosakkan ini mungkin akan mengakibatkan pembaziran minyak, atau lebih teruk lagi jika terjadinya permasalahan yang lain pula.

4. Tayar yang kempis
ini merupakan kaedah yang paling popular untuk membazirkan petrol. Tayar yang kempis bukan sahaja membakar petrol secara berlebihan, tetapi ianya juga merosakkan tayar kenderaan anda dengan lebih cepat. Lebih teruk lagi ianya juga boleh mengakibatkan kemalangan..!

5. Terus memecut apabila lampu isyarat bertukar hijau
tidak perlu menekan pedal minyak sehabis-habisnya ketika lampu isyarat bertukar hijau. Biarpun kita sudah terlewat dan ingin mengejar masa. Ini akan menyebabkan lebih banyak petrol di pamkan ke enjin anda. Anda tidak perlukan tekanan tersebut untuk memecut, pandulah dengan kadar normal.


6. Memandu terlalu perlahan
ada yang beranggapan apabila mereka memandu dengan perlahan, mereka akan mendapat jarak perjalanan yang lebih. Walaubagaimanapun, keadaan ini sebenarnya hanyalah merosakkan enjin dan membuatnya menjadi kurang cekap (dan membazir petrol juga). Kuncinya di sini, seimbangkan antara dua keadaan ekstrim ini, dan pandulah dengan kadar yang sederhana.

7. Membrek ketika betul-betul di lampu merah
begitu juga dengan keadaan ini, apabila anda sudah nampak lampu isyarat bertukar merah, perlahan-lahan berhentikan kereta anda. Jangan terburu-buru berhenti hanya di saat-saat akhir. Amalan ini juga sebenarnya dapat mengelakkan pad brek dari cepat rosak.

8. Mengekori terlalu rapat
mengekori kenderaan yang berada di hadapan dengan jarak yang terlalu dekat amatlah merbahaya. Amalan ini hanya akan menjadikan anda terlalu fokus pada kenderaan di hadapan dan idak pada kenderaan lain yang terdapat di jalanraya. Ia juga akan menyebabkan anda menjadi kurang peka jika berlaku apa-apa jua kecemasan. Selain itu, petrol juga dibazirkan, ini adalah kerana apabila kenderaan di hadapan anda membrek, anda juga harus memperlahankan kenderaan anda.

9. Membawa barang yang tidak perlu
ramai daripada kita suka meletakkan barang-barang yang tidak perlu di dalam bonet mereka tanpa diketahui alasannya. Ini sebenarnya hanya menambahkan berat kenderaan dan akhirnya menyebabkan penggunaan petrol yang berlebihan. Mahu menambahkan jarak perjalanan kenderaan anda? Mudah saja, keluarkan apa jua barangan yang tidak perlu dalam kenderaan anda.

10. Menggunakan tayar berprestasi tinggi
ramai di antara kita yang suka memilih untuk menggunakan tayar yang berprestasi tinggi. Ini berikutan kuasa cengkaman dan aspek keselamatan yang ditawarkan melebihi tayar biasa. Walaubagaimanapun, tayar sebegini sebenarnya memerlukan lebih banyak kuasa untuk berjalan di atas jalanraya, lebih tinggi prestasi sebuah tayar, maka lebih banyak tenaga yang dibakar.