Thursday, August 28, 2008

Umur Seorang Usahawan

Hari ini saya berjumpa dengan seorang usahawan yang menjalankan aktiviti memotong rumput. Pakcik yang pada pandangan saya berumur menjangkau 70-an ini, tidak mempunyai banyak pengalaman dalam bidang keusahawanan berbanding dengan teman saya yang membawanya melihat kawasan projek. Namun begitu rupanya sangat tekun dan tawakkal dengan kerjanya.

Saya sangat menghormati semangat kental yang ada padanya, kebanyakkan orang pada usia ini sudah duduk di rumah menikmati wang pencen atau lepak di kedai kopi berborak kosong. Mungkin dorongan yang ada padanya adalah kerana minat atau desakan hidup tapi walau apa pun sebabnya saya tetap menghormati semangat juang pakcik ini. Jika dia mula pada usia mudanya sudah pasti dia akan menjadi tokoh usahawan yang dihormati ketika ini. Walaupun tiada had umur untuk menjadi usahawan tapi lebih baik jika bermula lebih awal sebab kita tidak tahu akan perjalanan dunia keusahawanan kita, jika ada lebih banyak masa, kita akan punyai lebih masa untuk jatuh bangun dalam dunia ini.

Wednesday, August 27, 2008

Analisa Kesan Tom Tom Bak Oleh Fadzli Yusof

Saya terbaca posting dari blog Rahsia Aura Kekayaan berkenaan ulasan Tuan Ahmad Fadzli terhadap rancangan Tom Tom Bak yang disiarkan di astro. Saya rasa informasi ini patut dikongsi bersama kerana didikan awal kanak-kanak adalah sangat penting. Kalau nak melentur buluh biar dari rebungnya. Masyarakat kita harus sedar akan kenyataan ini. Sekarang saya lihat semakin ramai kanak-kanak yang membesar dengan input maklumat yang salah. Sepatutnya pada umur itu mereka diajar dengan pelbagai ilmu yang berguna dan yang boleh diguna pakai dewasa kelak. Media hiburan banyak mempengaruhi perkembangan ini. Ibu bapa harus mengawasi dan memantau anak-anak mereka agar anak-anak ini boleh dibentuk dengan betul. Jika ini dilakukan, saya yakin gejala sosial remaja pada masa akan datang dapat dikurangkan. Berikut adalah petikan penuh tulisan Tuan Ahmad Fadzli.

http://fadzliyusof.com/

Terima kasih kepada semua yang memberikan respon tentang rancangan Tom Tom Bak. Ada yang memberikan kebaikan, ada yang menyatakan sebab-sebab di’haram’kan rancangan tersebut di rumah mereka. Saya sempat berdiskusi dengan beberapa orang yang tidak suka dengan rancangan ini, dan antara rumusan diskusi tersebut ialah:

1. Rancangan tersebut tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana ia menanamkan budaya berhibur yang keterlaluan dalam pemikiran kanak-kanak. Budaya hidup tanpa tujuan-melainkan berhibur ini juga biasa disebut sebagai ‘hedonisme’. Sedangkan Allah ada menyebut di dalam al Quran yang bermaksud, “Adakah kamu mengira bahawa hidup ini adalah untuk keseronokan dan permainan?”. Itu adalah tempelak Tuhan kepada hamba yang tidak tahu tujuan asal manusia.

2. Jika dari kanak-kanak lagi asyik disogok dengan menyanyi, mimik penyanyi, tarian gelek, berlawak, cakap lepas, kurang ajar dengan orang tua + berkelakuan tak senonoh + lucah (walaupun sekadar lakonan, tetapi diketawai oleh semua penonton), maka itu bukan mengajar anak tentang kehidupan.

3. Benar, tampil di atas pentas boleh meningkatkan keyakinan diri, tetapi faedah ini hanya untuk orang yang membuat persembahan, BUKAN kepada penonton. Lagipun, keyakinan diri ada konsep yang subjektif. Jika anda membuat persembahan gelek di atas pentas, anda mungkin yakin menari gelek di tempat lain, tetapi belum tentu yakin untuk menjawab soalan guru di dalam kelas, belum tentu yakin berhujah dan berpidato, belum tentu yakin mengutarakan pandangan dalam perbincangan kelas. Kalau yakin gelek punggung, tapi otak dibina- bagaimana hendak membina tamadun negara ini? Dengan anak-anak yang YAKIN DIRI untuk gelek dan menyanyi? Namakan tamadun dunia yang dibina oleh penyanyi, penari dan pelakon? Yunani? Babylon? Greek? Rom? Moghul? Delhi? Ming? Zhou? Aztec? Abbasiyyah? Renaissance?Semua tamadun dibina dengan daya berfikir yang tajam dan berkualiti.

4. Jika benar pun hendak memberi peluang anak naik ke pentas, kenapa dibiarkan menyanyi lagu-lagu cinta? Memuji kekasih, bentuk tubuh yang seksi, kerinduan yang tidak dapat ditahan, kecewa kerana putus cinta, dan bermacam lagi lagu yang tak patut didengari (apatah dinyanyikan) oleh kanak-kanak. Adakah mereka sudah layak mencari bakal suami dan isteri? Kita nak mereka kawin umur berapa tahun?Alangkah baiknya jika TTB menapis lagu-lagu. Biarlah mereka menyanyi lagu yang membina motivasi dan minda. Ada ribuan lagu lain yang boleh mereka nyanyi dan membina keyakinan diri. Adakah kita hendak melahirkan generasi yang korup pemikirannya? Kalau tarian tu, zapin dan rodat tiada masalah. Ini sampai tarian gelek erotik dengan lenggok tubuh ala-ala coyote ugly. Apa idea yang kita hendak tanamkan dalam pemikiran anak-anak kita? Menjadi penari gelek itu bagus untuk masa depan yang cemerlang?

5. Kanak-kanak adalah kain putih. Tahap pertimbangan mereka adalah rendah. Mereka mudah menerima idea yang diterima. Semasa persembahan TTB, apabila kanak-kanak cakap merapu, semua penonton tepuk tangan, senyum dan ketawa. Keluarga di rumah juga buat perkara yang sama. Apa maknanya? Itu maknanya ‘pengiktirafan sosial’ yang tinggi. Tepuk tangan dan senyum ialah tanda penerimaan dan perhatian. Kanak-kanak mahu diterima. Mereka inginkan perhatian. Secara mudah, kalau mereka nak perhatian; mereka perlu pandai menyanyi, menari, gelek, merapu, cakap lepas, kurang ajar, dan ala-ala lucah. Mereka tidak perlu fokus dalam kelas, buat latihtubi, menghafal pelajaran, buat kerja rumah, fahami semua aspek dalam bab yang dipelajari, cekap menjawab soalan algebra, ingat proses fotosintesis, tahu falsafah Nebuchadnezzar, dan mereka tidak perlu solat 5 waktu. Ini belum tentu memberikan dan PENGIKTIRAFAN dan PERHATIAN.Ada lagi, tapi akan bersambung kemudian. Sementara tu, anda ada idea tentang persoalan ini?

P/S: Menunggu bilalah lagi ada rancangan yang mengiktiraf, mengkagumi dan memberi perhatian kepada kanak-kanak yang benar-benar berkualiti, yang layak untuk mendukung tamadun negara. Ada satu rancangan “Are You Smarter Than a 5th Grader?” yang bagi saya baik untuk psikologi anak. Apakah kebaikan rancangan itu? Tunggukan analisa seterusnya…

Tuesday, August 26, 2008

Harapanku untuk Pilihanraya Permatang Pauh

Hari ini 26 Ogos 2008 adalah tarikh untuk penduduk-penduduk permatang pauh keluar mengundi. Sepanjang bulan ini banyak saya dengar spekulasi-spekulasi keputusan untuk pilihanraya tersebut. Ada yang cakap BN yang menang, cakap PKR menang dan ada pula yang berpendapat parti bebas pun boleh menang.

Walau siapa pun menang, saya berharap dan berdoa agar ini bukannya titik permulaan kehancuran bangsa Melayu. Bila melihat Melayu di Singapura, perasaan takut dan sedih dapat dirasa. Kalau dibayangkan Malaysia akan jadi macam Singapura habislah bangsa kita.
Kepada para pengundi yang majoritinya Melayu, diharap fikirlah masak-masak sebelum memilih. Sudah terbukti dan dapat dilihat bagaimana parti perikatan memerintah.Baru saja beberapa bulan, macam-macam hendak dipertikaikan. Hak bumiputra, UITM, kandang babi, papan tanda tulisan Cina dan memacam lagi. Inikah pemerintahan yang kita mahu?

Mungkin banyak yang tidak menyokong BN kerana harga barang naik, harga minyak naik, amalan rasuah berleluasa, tak nak PakLah dan berbagai alasan. Tapi setidak-tidaknya hak kita terjaga, tiada yang kebulur, dari tahun ke tahun rakyat miskin berkurangan, PakLah pun dah janji nak serahkan pemerintahan pada DS Najib dan yang paling penting sekarang pemimpin teratas masih orang Islam. Kalau parti rakyat ambil kerajaan, mungkin satu dua tahun DSAI mereka biar jadi PM, tapi lepas tu saya yakin DAP akan buat rancangan untuk sama ratakan semuanya. Mereka akan cakap mereka pun layak jadi PM. Kalau dah sekali mereka dapat, alamatnya takkan balik ke tangan Melayu lah jawatan tu.

Bersabarlah, beri peluang BN memperbetulkan kesilapan mereka. Saya yakin apabila DS Najib jadi PM nanti, negara Malaysia akan kembali makmur dan aman. Bukannya saya tidak menyokong PakLah, tapi mojoriti mentaliti masyarakat dah tak dapat menerimanya. Jadi untuk kepentingan rakyat DS Najib perlu jadi PM sebelum terlambat. Saya rasa PakLah sedar akan hal ini namun mungkin dia hendak memperbetulkan kesilapan-kesilapan yang telah dia buat terlebih dahulu sebelum menyerahkan pimpinan kepada DS Najib. Saya hormati tindakan itu kerana dia berhak membersih namanya. Tapi jika dia terus letak jawatan, lagilah saya respect dengan PakLah kerana mempunyai semangat seumpama itu. Sanggup berkorban demi kebaikan negara, walaupun masa pemerintahannya mungkin tidak akan dikenang, namun saya akan ingat detik dia meletakkan jawatan kerana bagi saya tindakan itulah menyelamatkan bangsa dan tindakan seumpama itu memerlukan pengorbanan dan keberanian yang banyak.

Jadi kepada para pengundi fikirlah baik-baik sebelum mengundi. Masa depan bangsa kita terletak di tangan anda.

Monday, August 25, 2008

Apakah Harga Sebuah Kejayaan?

4 tahun dahulu saya mempunyai seorang teman perniagaan di mana kami telah menubuhkan satu syarikat sendirian berhad bersama. Encik C bukan nama sebenar, berumur jauh lebih tua dari saya. Saya rasa pada ketika itu dia berumur 40an dan saya baru satu tahun tamat pengajian di universiti tempatan. Banyak ilmu mengenai perniagaan yang saya pelajari dari Encik C. Dia sangat cekap dalam hal-hal berkaitan tender dan bijak menguruskan para pembekal untuk mendapatkan kredit atau demo barang-barang yang hendak diniagakan. Ketika itu, Encik C mempunyai seorang isteri dan kalau tak silap 2 orang anak perempuan.

Pernah dua tiga kali saya ikut serta denganya pergi mengambil anaknya balik dari sekolah. Ketika itu Encik C hanya menggunakan kereta kalau tak silap saya Volvo 240 tahun 1990an. Keadaannya agak usang dan dia tinggal di rumah teres satu tingkat. Walaupun keadaan serba tidak cukup dan hidup Encik C sekeluarga sederhana, namun saya lihat perhubungan mereka sekeluarga sangat mesra. Setiap hari saya lihat wajahnya tersenyum gembira ketika di pejabat. Kesimpulannya Encik C saya kelaskan sebagai seorang usahawan yang bahagia.

Setelah hampir 5 tahun tidak berjumpa atau mendengar berita darinya, dua hari lepas saya terjumpa kembali dengan Encik C di sebuah kedai makan. Sekarang Encik C sudah memandu kereta BMW 5 series warna hitam yang cukup mewah dan bergaya rupanya. Saya tidak berkesempatan untuk bercakap-cakap atau bertanyakan khabar kerana melihat Encik C agak sibuk dan tergesa-gesa mungkin untuk berjumpa seseorang. Jadi kami hanya angkat tangan dari jauh dan masing-masing melemparkan senyuman. Walaupun masih kelihatan segak seperti dahulu namun saya perasan sesuatu yang berbeza dengan senyuman Encik C. Senyumannya seperti penuh risau seakan-akan sedih dan seolah-olah dibebani sesuatu. Susuk badannya pun kurus berbanding 4 tahun dahulu. Pada mulanya saya ingat mungkin kerana cuaca petang yang panas dan mungkin sekarang Encik C sudah pandai jaga badan.

Namun hari ini saya terjumpa pula dengan rakan saya yang mengenali Encik C, setelah saya ceritakan mengenai kemewahan Encik C, dia pun kata dia juga ada beberapa kali terjumpa dengan Encik C. Tapi dia jumpa Encik C di sebuah kelab malam dalam keadaan mabuk duduk menyendiri di satu sudut. Katanya Encik C sekarang sudah berubah, mempunyai masalah rumahtangga dan seolah-olah kesepian tanpa teman. Terkejutnya saya apabila mendengar cerita seumpama itu, perasaan sedih dan kasihan mula menyelubungi diri saya.

Apabila melihat kejadian Encik C saya mula berfikir, adakah ini harga untuk kemewahan dunia? Apakah erti kemewahan jika tidak dapat dikongsi dengan keluarga? Apakah erti kemewahan tanpa adanya orang yang kita sayangi? dan apakah erti kemewahan jika kita tidak dapat bersyukur dan menghambakan diri kita pada Allah SWT? Saya rasa jawapannya, tanpa Allah, keluarga dan orang yang kita sayang, kemewahan tidak akan memberi sebarang erti. Jelas disini mencerminkan bahawa kemewahan tidak menjamin kebahagiaan. Tapi haruskah kita hidup miskin? Serba tak lengkap? Serba kekurangan?

Saya ingin mengejar kemewahan kerana saya ingin bahagia, saya tak ingin lihat anak cucu saya hidup susah. Saya ingin bantu keluarga saya dan bangsa saya untuk maju dalam apa jua bidang. Apabila mewah barulah kita mampu untuk tolong sesiapa sahaja yang kita kehendaki. Saya ingin redah keperitan dan kesusahan hutan keusahawanan ini agar anak cucu dan bangsa saya tidak perlu bermula di mana saya bermula. Agar dengan usaha saya ini mereka mampu pergi lebih jauh. Walaupun saya tidak lahir dalam keluarga yang mewah dan tidak lahir dalam keluarga yang menjalankan perniagaan, saya ingin ubah semua itu agar ia dapat memberikan pengertian hidup yang lebih sempurna.

Saya harap ada dikalangan pembaca yang mempunyai pengalaman berkenaan dengan bagaimana untuk menyeimbangkan masa di antara keluarga, tuhan dan kerja yang memerlukan komitmen yang besar. Kerana kisah Encik C bukanlah kisah pertama yang saya dengar, ada banyak lagi kisah-kisah mereka yang mengorbankan keluarga dan tuhan demi karier mereka. Di harap ada yang boleh berkongsi pendapat.

Saturday, August 23, 2008

Kesedihan Seorang Tokoh Di hari Merdeka

Walaupun saya tidak menyokong untuk Pak Lah turun dari pucuk pimpinan, namun hati saya tetap tersentuh oleh kesedihan bekas perdana menteri kita TDM melihat hari kemerdekaan yang telah disambutnya dari ulang tahun kemerdekaan yang pertama berubah suasana. Ianya tidak seindah dan semeriah dahulu. Di harap kita fahami perasaan seorang tokoh yang telah memberi seluruh hayatnya untuk pembangunan negara dan di penghujungnya inikah balasan masyarakat Malaysia terhadapnya. Sedih.. Hayatilah posting ini..

Posting di bawah telah saya ambil dari blog TDM

1. Tak lama lagi kita akan sambut Hari Merdeka ke-51. Tahun lepas kita sambut Hari Merdeka yang ke-50 dengan gembira kerana ia menandakan setengah abad kita memerintah negara kita sendiri. Dan kita bangga kerana dalam jangkamasa itu kita telah maju jauh kehadapan sehingga mereka yang lama berada di luar negara tidak kenal tanahair mereka apabila kembali. Demikian perubahan yang telah berlaku.

2. Orang asing pula apabila datang pertama kali ke Malaysia tidak percaya ini adalah negara membangun, negara dunia ketiga.

3. Bukan sahaja Kuala Lumpur sudah bertukar wajah dan dipenuhi dengan bangunan pencakar langit, dengan jalan-jalan bertingkat yang bersih dan dihias dengan tanaman bunga-bungaan sepanjang jalan dan lain-lain, tetapi bandar-bandar lain juga memperlihatkan pertumbuhan dan pembesaran, lengkap dengan jalan bertingkat yang penuh sesak dengan kereta.

4. Rata-rata kita lihat kemajuan yang telah dicapai. Jumlah yang miskin telah dikurangkan dan mereka turut bersama bergembira.

5. Rakyat berbilang kaum tidak bermusuh sesama mereka walaupun tidaklah berharmoni seperti yang diharapkan. Namun tiap kali pilihanraya diadakan majoriti pengundi memberi kepercayaan kepada Kerajaan Barisan Nasional kerana beranggapan segala-gala yang dinikmati adalah hasil pemerintahan Kerajaan-Kerajaan BN. Biasanya mereka memberi kemenangan lebih 2/3 daripada kerusi Parlimen.

6. Rakyat Malaysia yang pergi ke negara asing berasa bangga kerana Malaysia dikagumi dan dihormati oleh siapa sahaja yang mereka bertemu apabila sahaja orang asing mengetahui yang mereka dari Malaysia.

7. Mereka menyebut menara kembar Petronas dan perlumbaan Formula 1. Orang Islam asing pula tertarik dengan kemajuan dan kestabilan sebuah negara Islam.

8. Kerana semua ini rakyat Malaysia gembira dan bersemangat untuk menyambut kedatangan Hari Merdeka. Jalur Gemilang dikibar di kereta-kereta dan di bangunan-bangunan. Bukan sahaja Melayu yang bersemangat, Cina, India, Kadazan, Iban dan semua suku kaum di Sabah dan Sarawak memperlihatkan semangat dan kegembiraan mereka.

9. Biasanya apabila tiba bulan Ogos semangat dan kegembiraan rakyat dipertunjukkan dengan pelbagai cara. Jalur Gemilang berkibar di merata-rata tempat. Mungkin saya silap, atau mungkin saya bias (berat sebelah), tetapi bulan Ogos ini rakyat agak muram, tidak gembira dan bersemangat luntur.

10. Mungkin ini kerana kenaikan harga minyak dan lain-lain. Tetapi ternampak ada sesuatu yang lain yang tidak kena yang menyebabkan rakyat tidak gembira untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

11. Blogger Sheih Kickdefella telah syor kempen terbalikkan Jalur Gemilang sebagai cara memprotes ketamakan ahli dan pemimpin parti-parti politik tanpa mengira parti mana.

12. Cadangan seperti ini tidak pernah dibuat selama 50 tahun kita Merdeka.

13. Reaksi Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mudah diramal. Cadangan kempen ini ditafsir olehnya sebagai perbuatan kurang ajar. Dan seperti biasa ugutan dibuat supaya polis akan ambil tindakan terhadap blogger berkenaan. Lain-lain blogger juga dibelasah sebagai tidak berfaedah dan mendatangkan kesusahan kepada rakyat.

14. Cadangan mengibar Jalur Gemilang terbalik dianggap menghina diri sebagai rakyat Malaysia.

15. Tidak terlintaskah dalam hati Dato Seri Abdullah untuk bertanya dan mengambil tahu kenapa cadangan ganjil ini dibuat? Seperti dengan kekalahan BN pada Mac tahun ini, Dato Seri Abdullah menafikan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan BN dan Kerajaan pimpinan beliau yang menyebabkan penyokong BN daripada semua kaum memberi undi mereka kepada parti lawan. Sebaliknya beliau mentafsir merosotnya undi kepada calon-calon BN disebabkan sabotaj dan pihak tertentu tidak mahu beri kemenangan 2/3 kepada BN. Kenapa mereka berbuat demikian tidak dipersoal olehnya, hanya kemarahan dan ugutan untuk bertindak terhadap mereka ini.

16. Macam-macam cara telah dibuat untuk menyedarkan pemimpin ini tentang perasaan tidak puas hati rakyat, tetapi sikap penafiannya menyebabkan semua mesej disalah tafsir dan disalah erti. Dalam keadaan kecewa rakyat maka sukarlah bagi mereka untuk menunjuk semangat dan kegembiraan dengan keriangan sambutan hari Merdeka.

17. Kata seorang daripada kenalan saya, sekarang hanya 10 hari sahaja sebelum hari Merdeka tetapi ianya melihat hanya sebuah kereta sahaja yang memasang Jalur Gemilang.

18. Kata seorang lagi, saya simpan sahaja Jalur Gemilang tahun ini.

19. Tidak ada sesuatu bangsa yang bermaruah yang tidak ingin bebas daripada belenggu penjajahan. Kita lihat di sana-sini peperangan untuk membebas wilayah sendiri sedang berlaku. Kita lihat penderitaan mereka, hidup tidak sempurna, berlari-lari dengan bungkusan harta yang sedikit ke sana-sini. Sekejap-sekejap letupan senjata membunuh dan mencederakan mereka. Inilah nasib orang yang dijajah yang ingin merdeka.

20. Pada tahun 1957 kita merdeka dan harapan kita ialah hidup yang lebih bahagia. Justeru kita rayakan hari keramat ini kerana merdeka difahami dan dihargai oleh semua pihak.

21. Saya percaya kita masih hargai kebebasan kita, kemerdekaan kita. Tetapi sesuatu telah berlaku yang menyebabkan kita tidak begitu gembira pada hari ulangtahun merdeka pada tahun ini. Kita kesal kerana kita tidak dapat buat apa-apa untuk mengembalikan kegembiraan bangsa yang merdeka.

22. Kita bersyukur kerana kita, samada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain suku kaum tidak bersifat ganas, tidak suka pada huru-hara, tidak berminat merusuh. Tetapi pemimpin hendaklah faham kenapa rakyat berasa muram tahun ini. Jangan tipu diri dengan berkata tak benar rakyat tidak gembira. Lihat sahaja berapa ramai yang keluar melihat bunga api. Malangnya ini bukan ukurannya. Ini hanyalah cara untuk melupakan sekejap keperitan hidup rakyat kerana diperintah oleh orang yang tidak mahu faham tentang perasaan rakyat.

23. Saya akan sambut Hari Merdeka tetapi tidak seperti 50 sambutan yang terdahulu. Sesuatu sudah hilang daripada makna kemerdekaan. Mulut sudah ditutup dan apa yang ada dalam hati tinggal tertambat, tidak boleh diluahkan. Kita takut berkata apa-apa kerana polis akan digesa bertindak. Kadang-kadang saya berasa yang kita berada dalam sebuah Police State (Negara bawah kawalan polis). Tetapi ini mungkin sifat keterlaluan saya.

24. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51. Mudah-mudahan Allah s.w.t. akan membuka hati mereka supaya faham mesej-mesej yang disampaikan oleh rakyat.

http://test.chedet.com/che_det/2008/08/merdeka.html

Friday, August 22, 2008

Contohilah Encik Zahar

"Zahar said...
as salaamu alaikum,Terima kasih, sang kelinci putih, kerana mengambil masa menjawab rintihan hati saya tentang keadaan anak2 Melayu sekarang.


Saya amat setuju bahawa kita tak sepatutnya membelakangkan antara kaum kita yang lemah dan belum sanggup berhadapan dengan bangsa lain. Malah, tujuan saya bukan apa, cuma untuk memberi satu pendapat lain, iaitu ada dikalangan kita yang masih memerlukan pertolongan, tetapi belum sedar bahawa dengan naiknya si anu itu, bukanlah jalan penyelesaian yang akan membuka tirai secara magis untuk membolehkan anak2 Melayu dapat bersaing secara sama-rata dengan bangsa lain.

Dan walau apa pun, saya masih berpegang kepada cita2 dan anjuran TDM dahulu, iaitu yang berjaya harus menjadi payung kepada yang kurang upaya. Hanya dengan cara itu, kita sama2 dapat merasa kebaikan. Di syarikat2 saya, saya mencuba untuk memasukkan kandidat2 seugama dan sebangsa, bukan kerana mereka lebih bagus tapi mengingatkan pesanan TDM dulu itu.

Secara garis besar, alhamdulillah semua berjalan lancar, dan ada juga lepasan dari syarikat saya yang berjaya menjadi pengurus besar, pengurus, dan pengarah syarikat lain setelah bekerja dengan saya. Ini mungkin dari bakat mereka sendiri, dan langsung secara kebetulan mereka pernah bekerja dengan saya.

Dimasa yang sama, saya cukup heran masih ada suara Melayu yang mahukan meritokrasi secara total, dan mahu dilempar DEB yang berjalan begitu lama, yang telah berjaya menolong orang Melayu sendiri. Pada saya, ini cuma mengikat tali dileher sendiri kerana dari pengalaman saya sendiri, majoriti Melayu masih memerlukan pertolongan di Tanah Melayu ini. Bangsa ku lemah, bangsa ku cacat, tapi masih bangsa ku dan mastautin di Tanah Melayu.

Dan andainya sesiapa yang tidak dapat melihat realiti itu, tak termasuk pemimpin parti DAP dan PKR, maka memang patutlah dia terjun ke sungai dengan labu2 nya."


Saya amat terharu kerana masih ada Melayu kita seperti Encik Zahar yang mahu membantu sesama bangsa. Saya sendiri sebagai salah seorang wakil anak Melayu berterima kasih dengan Encik. Bangsa kita berkemampuan dan berkebolehan untuk maju, cuma kita perlu peluang dan bimbingan yang betul. Jika ada hanya 40% daripada bangsa kita bersikap seperti Encik Zahar, saya yakin bangsa kita akan disegani di mata dunia.

Saya sangat berharap bangsa kita sendiri sedar akan perlunya kita memberi peluang kepada sesama bangsa dan bagi mereka yang telah diberi peluang itu saya harap mereka dapat belajar berterima kasih dan bersyukur dengan apa yang mereka ada. Janganlah kita gadaikan negara kita ke tangan orang-orang yang bersekongkol dengan orang-orang kafir kerana kita tidak tahu apa tujuan yang mereka ada disebaliknya.

Sekali lagi saya ingin nyatakan bahawa ketua yang memimpin negara bukanlah satu perkara yang kita boleh cuba-cuba untuk satu atau dua penggal. Silap percaturan kepala kita sendiri yang akan terpenggal. Bersyukurlah dengan apa yang ada sebelum terlambat.

Thursday, August 21, 2008

Jangan Putus Asa Bangsaku!!

Petikan komen dari Blog Anak Malaysia
http://anakmalaysia81.blogspot.com/2008/08/mengenai-melayu.html

"Zahar said...
assalamualaikumSaya rasa sungguh tepat bahawa yang memporak perandakan orang Melayu adalah diri kita sendiri, pertama tak usah cakap lah iaitu dari ahli politikus yang berbalah macam2 dan yang kedua, dan lagi sedih adalah sifat kita sendiri.Contoh dari pengalaman saya sebagai majikan semenjak puluhan tahun, iaitu calon bangsa Melayu dan dari bangsa lain. Kalau si calon Melayu ni, pertama yang dia mahu, gaji tinggi, kedua kedudukan besar, ketiga, cenderung malas fikir. Satu lagi, hampir kesemua pekerja berbangsa Melayu kalau tak disuruh, tak akan buat, dan kalau disuruh suruh, mereka akan cepat naik bosan dan berontak atau lari.


Berlainan dengan calon bangsa Cina (umpama). Dia tak peduli gaji kecil atau besar, tapi mesti ada peluang naik atas dasar meritokrasi, dan setanding dengan dengan kelulusan atau pengalaman yang ada pada dia.Kemudian, diwaktu kerja pula, senantiasa mencuba cara2 baru atau yang lebih efisyen untuk membuat kerja dia, dan tak payah nak suruh pun, kerja langsung siap.Diatas adalah contoh garis besar sahaja, kerana disetiap kaum bermacam2 jenis, ada juga bangsa lain yang malas dan ada juga bangsa Melayu yang rajin dan gigih.

Tetapi tanya pada majikan swasta mana2 pun hari ini, kalau nak temuduga anak Melayu, dalam seratus adalah kot satu yang boleh pakai.Ini yang menyedihkan kerana dari segi fizikal dan alami, sepatutnya tidak ada perbedaan antara satu kaum dengan satu kaum lain, tapi dari sudut realiti di ketika ini, perbedaan itu ada dan kalau nak tunggu anak2 Melayu ni tukar sifat mereka terhadap kerja, artinya tunggu lah sampai penat.

Yang bebudak atau otak bebudak yang fikir dengan naiknya sanjungan mereka yang dia tu, tu, maka secara otomatis lagak sihir, akan maju lah bangsa Melayu sehingga apat menandingi bangsa lain, dan sandarkan semua kepada meritokrasi dan kesama-rataan.Maaf, tapi dari mata orang tua ni yang dah banyak mengamat dan memerhati dunia sebenar, kalau jadi lah impian itu iaitu naik nya sanjungan mereka yang akan menyamaratakan mereka dengan bangsa lain, tunggu dan lihat saja apa padahnya nanti. Terjun lah Luncai, terjun lah dengan labu2 kau tu. Tapi kalau aku tak nak join, jangan mare ye beb!"

Sememangnya saya akui kebenaran kebanyakkan masyarakat bangsa kita hanya hendak senang, malas berfikir, perlu disuruh baru nak kerja tapi janganlah kita putus asa dengan bangsa kita sendiri.

Saya sentiasa fikir bahawa hanya kita yang dapat menolong bangsa kita, walaupun kebanyakkannya seakan-akan tak nak ditolong atau sudah terlalu pandai. Jika ada seribu orang bangsa kita yang minta kerja, berilah setiap seorang dari mereka peluang untuk berkerja. Sama ada mereka gunakan peluang itu dengan sebaik-baiknya atau tidak terpulanglah pada mereka. Janji kita dah tunaikan tanggungjawab kita membantu bangsa kita sendiri. Sekalipun untuk mencari pekerja yang berkualiti di kalangan bangsa kita hanya dengan kebarangkalian 1/10000, carilah yang satu itu. Jangan kita berputus asa dan lupakan mereka.

Tak salah kita puji bangsa lain rajin, bangsa lain bijak atau bangsa lain kuat berusaha tapi jangan sekali-kali kita lupa bantu bangsa kita sendiri. Juga tidak salah kita katakan bangsa kita malas, bangsa kita bodoh atau bangsa kita tak tahu bersyukur tapi biarlah dengan niat memajukan dan menyedarkan mereka.

Hanya kita yang dapat majukan bangsa kita, setiap seorang dari kita harus memainkan peranan dalam usaha ini. Barulah kita dapat maju dengan cepat seolah-olah berlaku chain reaction dalam bangsa kita. Insyaallah dengan berkat doa dan usaha, Allah SWT akan sembuhkan penyakit yang melanda bangsa kita ini. Bantulah bangsa kita dan jangan putus asa.

Wednesday, August 20, 2008

Mengapa Melayu Mengemis Di Bumi Sendiri?

Petikan Komen dari Blog Anak Malaysia
http://anakmalaysia81.blogspot.com/2008/08/malaysian-malaysia-pengalaman-dari.html

"White Rabbit said...
Bangsa kita kaya sumber dan mampu melahirkan cendikiawan dan golongan intelek tapi corak pemikiran rakyat kita masih sama dengan zaman Tuah dan Jebat. Terlalu ikut perasaan, tidak memikirkan jangka masa panjang dan akibat. Mungkin masalah besar bangsa kita ialah kita tidak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada dan kita kecapi selama ini. Selalu rasa bahawa dunia tidak adil, pemimpin tidak adil dan hidup tidak adil. Mungkin sebab itulah wujudnya parti keadilan. Parti untuk mereka yang tidak pernah syukur."

"Anonymous said...
Habis ko bersyukur dgn BN lah..50 tahun kak...50 tahun..kalau inilah pencapaian melayu yang kamu bangga that why melayu mengemis di tanah sendiri....salahkan diri yg buta dan tidak berani menyahut cabaran...DSAI belum memerintah..bagi peluang...dia akan bela bangsa..tapi BN, 50 tahun di beri peluang, melayu majukah????cina yang lebih maju....saya percaya DSAI akan bela bangsa, biar di fitnah..pemimpin berani adalah pemimpin sebenar rakyat....pemimpin pengecut adalah pemimpin BN..50 tahun bagi peluang yg kenyang perut mereka sendiri, bangsa melayu sampai mana????sekarang bila rakyat undi PR, baru nak perjuang nasib bangsa balik...50 tahun kak...50 tahun...kenapa kita mengemis di tanah air sendiri..kenapa kita masih gagal menyaingi cina????bukankah 50 tahun kita bagi peluang kepada BN????kalau kita bagi 50 tahun lagi, habislah nasib bangsa kita, sekarang mereka baru nak perjuang hak...di mana mereka perjuang hak melayu sebelum PRU12????di mana????"


Melayu patut bersyukur dengan apa yang mereka ada, tidakkah itu ajaran Islam. Melayu mengemis bukan pasal BN atau bukan pasal PKR atau DSAI. Melayu mengemis kerana kita tidak gunakan peluang yang ada di depan mata. Ada banyak peluang yang kita lepaskan. Kita tak maju kerana mentaliti kita sendiri. Kalau nak kaya dan hidup mewah, kenapa nak makan gaji? Kenapa nak kerja kerajaan? Kalau nak mewah tanpa usaha sampai mati pun tak akan mewah.

Apa ingat Cina dan India kaya pasal mereka kerja makan gaji ke? Ko orang tengoklah Cina atau India yang kerja makan gaji, sama je taraf kehidupan mereka dengan kebanyakkan orang Melayu. Kita jarang tengok golongan Cina yang miskin kerana kebanyakkan mereka sedar bahawa berniaga adalah jauh lebih baik dari makan gaji. Dalam diri mereka dan bangsa mereka sudah timbul keinginan untuk keluar dari belenggu kesusahan dan kemiskinan. Itu semuanya dari dalam diri bangsa itu sendiri, bukannya dari BN atau mana-mana parti politik. Dalam diri bangsa kita hanya ada timbul perasaan dengki dengan bangsa lain dan keinginan untuk menyalahkan orang lain akibat dari kemalasan diri sendiri. Aku sedih bila aku sedar banyak bangsa kita mempunyai mentaliti seumpama ini.

Pernahkah ko orang fikir, adakah geran atau pinjaman khas yang kerajaan beri untuk peniaga-peniaga Cina atau India? Adakah badan-badan atau agensi-agensi khas membantu peniaga Cina menjalankan perniagaan? Dan adakah bantuan dan bimbingan yang diberi oleh kerajaan untuk peniaga Cina memulakan perniagaan? Satu pun tiada, sebab semuanya diutamakan hanya kepada orang-orang Melayu dan masyarakat bumiputra. Bila ini berlaku, adakah golongan Cina dan India duduk merungut mengenangkan nasib? Tidak. Ini tidak dapat memutuskan usaha mereka untuk mencapai impian mereka. Mereka cari jalan, cari peluang, bayar bumiputra yang sanggup di Ali Baba kan dan terdapat kebanyakkan mereka yang sanggup berkahwin dengan bumiputra untuk mendapatkan keistimewaan ini. Betapa mereka sanggup korbankan kebahagiaan mereka untuk mendapat keistimewaan yang ada pada kita bangsa Melayu. Kita sebagai Melayu apa yang kita buat? Bukak internet, register nama dekat SPA dan tunggu surat untuk temuduga datang ke rumah. Duduk menganggur mengharapkan duit datang bergolek. Sentiasa hendak yang senang, yang mudah dan yang paling bangsa kita minati ialah skim cepat kaya. Bangsa kita tidak bodoh tapi kekadang suka diperbodohkan. Itu kah mentaliti kita untuk hidup senang dan mewah?

Kalau tak nak berusaha jangan mimpilah nak hidup mewah. Sekalipun seluruh dunia dipimpin oleh orang Melayu, tanpa ilmu dan usaha, Melayu tetap dan pasti akan mengemis di bumi sendiri. Diharap Melayu akan cepat sedar dan mulakan usaha sebelum terlambat. Silap-silap kalau diperintah oleh parti lain, bumi sendiri tempat untuk mengemis pun hilang dijual ke Amerika. Hahaha... Bangunlah Bangsaku...

Tuesday, August 19, 2008

Modal Dalam Perniagaan 3

Faktor ketiga pula ialah cara penggunaan modal yang ada. Apabila modal telah dikenalpasti dan dapat dicari, untuk menggunakannya memerlukan perancangan yang rapi dan teliti. Disinilah penting adanya rancangan perniagaan. Bukan sahaja sebagai panduan memulakan perniagaan tapi juga sebagai panduan ketika menjalankan perniagaan agar hala tuju dan prestasi perniagaan dapat diketahui dan diawasi. Kita sering beranggapan bahawa rancangan perniagaan hanyalah untuk meminta pinjaman dari pihak bank. Sedangkan rancangan perniagaan sebenarnya adalah panduan penting dalam sesebuah perniagaan. Ia dapat meramal arah tuju sesebuah perniagaan dan membimbing perniagaan kita ke arah yang betul. Dalam rancangan perniagaan yang disediakan, carta aliran tunai dan unjuran aliran tunai untuk tiga tahun pertama hendaklah dibandingkan dengan aliran tunai semasa yang ada. Dengan ini tindakan dan rancangan dapat dibuat untuk memastikan perkembangan perniagaan. Tanpa rancangan perniagaan yang baik, biasanya sesebuah perniagaan tidak mampu untuk bertahan untuk jangkamasa sepuluh tahun pertama.

Diharap dengan pengetahuan ini, modal tidak lagi menjadi masalah kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan. Jangan fikirkan apa yang tiada, tapi gunakan apa yang ada.

Monday, August 18, 2008

Blog terbaru yang kubaca

Saya amat tertarik dengan satu blog baru yang saya jumpai semalam. Iaitu blog pewarismelayu yang telah saya letakkan di dalam senarai blog-blog yang saya baca.

Jika kita amati penulisannya, ia amatlah logik. Tidak perlulah kita menyokong parti politik yang sudah terbukti akan membawa kita ke arah yang salah. Sedangkan mereka sendiri tidak tahu akan arah tujuan parti mereka. Mereka mempunyai ideologi yang jauh berbeza, entah bagaimana mereka dapat memperjuangkan nasib rakyat kelak. Siapa jadi ketua? Undang-undang yang bagaimana akan terbentuk? dan entah berapa lama kerajaan seumpama itu akan bertahan sebelum kita berpecah-belah dan negara menjadi huru-hara?

Mengapa bangsa kita masih lagi membuang masa dengan konflik-konflik politik yang tidak membawa faedah ini? Mengapa kita tidak bersatu dan memperjuangkan nasib bangsa kita yang diperkecil-kecilkan oleh dunia? Kita dipandang rendah, di hina dan tidak dihormati. Tidakkah kita malu? Tidakkah terbakar semangat kita untuk menjadi bangsa yang disegani? Melahirkan usahawan-usahawan, doktor-doktor atau golongan-golongan profesional yang mampu meningkatkan ekonomi negara, itulah yang kita patut buat. Bukannya bertelagah sesama sendiri dan menafikan bukti-bukti yang ada di depan mata. Teruk sangatkah pemerintahan yang kita ada sekarang? Seperti yang saya pernah katakan, selama 50 tahun kerajaan sekarang memerintah, pernahkah pihak kerajaan biar kita mati kebulur? Pernahkah pendidikan kita di abaikan? Pernahkah kita rasa kita tidak selamat untuk keluar dari rumah?

Apa lagi yang kita mahu? Adakah kita hendak gaji yang berpuluh-puluh ribu? Bonus hujung tahun berkali ganda? atau adakah kita mahu memandu kereta-kereta mewah yang berharga ratusan ribu atau juta? Tidak salah mahukan kesenangan, tapi menukar pucuk pemerintahan bukanlah caranya. Bangsa kita perlu sedar realiti ini. Bangsa kita perlu berusaha untuk mendapatkan kesenangan yang mereka inginkan. Bukannya berusaha menggulingkan kerajaan, tapi berusaha bangunkan dan majukan diri sendiri. Hanya dengan cara itulah kita dapat mengecapi kesenangan dunia yang kita inginkan. Jika bangsa lain dapat maju dengan pemerintahan sekarang, mengapa tidak kita? Begitu banyak kemudahan yang desediakan untuk kita? Sedangkan bangsa lain terpaksa berebut-rebut mencari kemudahan seumpama itu.

Sesungguhnya Allah maha penyayang, maha mengasihani dan maha adil sebab itulah bangsa-bangsa lain juga dapat menikmati rezeki yang disediakannya di muka bumi ini. Tapi ketahuilah bahawa Allah hanya menyayangi orang-orang Islam dan mengasihani mereka yang bukan Islam. Jika mereka yang bukan Islam dapat menikmati kesenangan seumpama itu dengan hanya dikasihani Allah, bayangkan apa yang kita boleh kecapi dengan usaha yang sama. Insyaallah.

Saturday, August 16, 2008

Hak Keistimewaan Orang Melayu

Kebelakangan ini banyak kita dengar, baca dan mungkin lihat isu hak keistimewaan orang Melayu sering dipertikaikan.Kes terbaru kini iaitu berkenaan dengan memberi 10% kuota kepada pelajar bukan bumi di UITM. Perkara yang amat sensitif sekali kerana ia melibatkan ilmu dan pendidikan kaum bumi di Malaysia. Apabila berkaitan dengan pendidikan biasanya ia akan berkait rapat dengan masa depan atau nasib kaum bumi. Apabila isu ini disentuh maka membuak-buaklah semangat juang dan timbullah perasaan ingin mempertahankan nasib bangsa. Saya tahu perasaan ini kerana walaupun saya tidak pernah belajar di UITM tapi apabila mendengar berita tersebut saya berasa sangat emosional mengenainya. Tambahan lagi isu tersebut ditimbulkan oleh sesama bangsa, membuatkan saya amat terkilan.

Tidak cukup ketinggalankah bangsa kita berbanding bangsa lain? Tidak adakah semangat cintakan bangsa dikalangan masyarakat Melayu? Tidak dapatkah kita bersatu? Perlukah satu-satunya Universiti istimewa bangsa kita dipertikaikan?Kita punyai budaya yang sama, agama yang sama dan bahasa yang sama, tidakkah ini menunjukkan betapa samanya kita? Adakah kita fikir bangsa lain yang berlainan budaya, agama dan bahasa akan bela nasib bangsa kita?

Entah apa motifnya tapi kepada pihak yang membangkitkan isu tersebut diharap belajar berfikir dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan. Jangan ikut sedap mulut sehingga mengguris perasaan berjuta rakyat Malaysia.

Sebelum ini rakyat negara kita yang berbilang bangsa dan agama mampu hidup bersama dengan aman dan sentosa. Kita harus kaji mengapa baru sekarang pihak-pihak yang berkenaan berani mengketengahkan isu-isu ini? Usaha mencari punca masalah hendaklah dilakukan segera kerana apa yang kita hadapi sekarang hanyalah kesan dan bukannya akar umbi masalah itu sendiri. Sudah pasti dalam kita leka dengan keamanan yang kita ada,kita telah melakukan kesilapan. Sayang sekali usaha datuk nenek kita suatu masa dahulu menyatukan rakyat berbilang kaum dipersia-siakan.

Diharap ada pihak yang akan menyiasat punca sebenar kekecohan yang sering berlaku di negara kita kebelakangan ini. Agar ia dapat ditangani sebelum terlambat

Tuesday, August 12, 2008

Modal Dalam Perniagaan 2

Faktor kedua ialah mencari modal. Mencari modal tidaklah susah jika kita dapat mengenalpasti modal yang ada dengan baik. Sebagai permulaan perniagaan dengan modal yang terhad, janganlah kita sesuaikan modal yang kita ada dengan perniagaan kita, sebaliknya sesuaikan perniagaan kita dengan modal yang kita ada. Dengan ini kita dapat terus membuka perniagaan yang kita kehendaki. Biar kecil asalkan berhasil. Apabila hasil sudah dipungut barulah kita perkembangkan perniagaan ke tahap yang seterusnya. Kalau nak tunggu modal yang cukup sememangnya tidak akan pernah cukup.

Sunday, August 10, 2008

Modal Dalam Perniagaan 1

Memulakan sesuatu perniagaan memerlukan modal dari pemilik perniagaan ataupun rakan-rakan kongsinya. Dari pengalaman saya, modal merupakan salah satu sebab penghalang bangsa kita untuk memulakan perniagaan. Kita lemah dari segi mengenalpasti,mencari dan lemah dari segi cara penggunaan modal yang ada.

Faktor pertama iaitu mengenalpasti modal.Kita selalu beranggapan bahawa modal hanya berbentuk ringgit dan sen.Namun hakikatnya modal wujud dalam pelbagai bentuk. Modal boleh jadi periuk yang kita ada dirumah, boleh jadi tin-tin yang kita jumpa di tepi jalan dan modal yang paling penting yang kita selalu terlepas pandang ialah modal insan iaitu diri kita sendiri. Setiap dari kita mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kemahiran tersendiri. Tidak semua orang dapat melakukan apa yang kita mampu lakukan dan tidak semua orang tahu melakukannya. Oleh itu, janganlah kita sangka kita tiada modal, sebenarnya kita lupa akan wujudnya modal-modal yang ada disekeliling kita dan yang ada dalam diri kita sendiri.

Wednesday, August 6, 2008

Lakum Di Nukum Walyadin

Sudah menjadi tabiat semulajadi manusia mempertahankan apa yang mereka ada, punyai atau percayai. Ada yang mempertahankan bangsa, ada mempertahankan negara, ada juga agama dan ada yang mempertahankan maruah.

Dalam posting saya yang sebelumnya, saya menerima pelbagai komen perkauman yang mungkin mencetuskan ketegangan jika dilihat dari sudut yang salah. Pada pendapat saya, tidak salah untuk bangsa Melayu memajukan sesama bangsa. Juga tidak salah jika ada bangsa-bangsa lain yang ingin berbuat sedemikian. Tidak akan ada hasil jika kita hanya merungut dengan rungutan bangsa itu dapat keistimewaan, bangsa ini ditindas atau bangsa itu tak best.. bangsa ini best.. Kesudahannya pasti kosong..

Fikirkanlah jalan untuk memajukan bangsa sendiri.. Halangan dan cabaran akan membuatkan minda menjadi lebih kreatif dan tahan lasak menghadapi masalah. Wujudkanlah perasaan irihati terhadap bangsa lain dan perasaan ingin bersaing, tapi jangan sesekali wujudkan perasaan dengki. Perasaan dengki hanya akan menghancurkan akidah dan dengki juga akan merosakkan keharmonian negara kita.

Surah Al-Kafirun.

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ
1 . Katakanlah:?Hai orang-orang kafir!?

لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ
2 . aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah

وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ
3 . Dan kamu bukan penyembah tuhan yang aku sembah

وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ
4 . Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah

وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ
5 . dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah tuhan yang aku sembah

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
6 . Untukmulah agamamu, dan untukkulah agamaku

Tuesday, August 5, 2008

Salah siapa kita di sini?

Sudah menjadi tabiat semulajadi manusia untuk menyalahkan orang atau benda lain jika ditimpa malang atau ditimpa masalah. Jarang ada yang menerima hakikat akan kesalahan diri sendiri. Realitinya menyalahkan orang lain adalah lebih mudah, tak perlu banyak fikir dan merupakan penyelesaian yang cepat.

Namun sebenarnya sikap seumpama ini membuatkan kita tidak menyedari akan masalah sebenarnya. Jika kita cermin diri dan minta pandangan pihak ketiga kita akan menyedari setiap masalah yang muncul atau datang, ada kaitan rapat dengan diri kita sendiri. Pada asasnya setiap gerak laku, sikap, pergaulan serta persepsi kita terhadap dunia memainkan peranan penting terhadap apa yang menimpa atau bakal menimpa diri kita. Saya pernah terbaca:

‘Define the problem as a person and you are in trouble. Define the problem as difficult behavior, you can do something about it’
Maksudnya jika kita sentiasa menyalahkan orang lain maka masalah yang dihadapi akan diganti dengan masalah yang lebih besar. Namun jika kita dapat mengenalpasti perkaitan diantara sikap kita dengan masalah yang kita hadapi, kita akan dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan mudah. Jika kita mempunyai kemahiran serta kesedaran ini, masalah di rumah, di tempat kerja atau di mana-mana dapat di atasi dengan lebih produktif. Ia juga boleh mengurangkan tekanan kerja serta tekanan emosi. Kita tidak akan mampu menyelesaikan masalah dengan mengubah dunia atau orang lain, namun cara yang mampu kita lakukan dan paling mudah ialah mengubah diri kita sendiri.

Jadi hentikanlah menyalahkan orang lain, menyalahkan keadaan dan menyalahkan nasib. Dengan memperbaiki diri sendiri, cermin diri dan kaji diri kita mampu menikmati hidup yang lebih bahagia. Nasib kita terletak di tangan kita sendiri dan hanya kita yang mampu mengubahnya. Tiada siapa yang berhak mengatakan sebaliknya sebab semua insan berhak untuk bahagia. Namun terpulanglah pada kemahuan insan itu sendiri untuk memilih jalan hidupnya.

Friday, August 1, 2008

Menjelang Bulan Merdeka

Merdeka memberi seribu satu makna kepada kita semua. Merdeka bukan sahaja merdeka daripada penjajahan tapi erti merdeka itu hendaklah merangkumi semua aspek sosial serta aspek ekonomi. Dari segi sosial, amalan serta perbuatan kita hendaklah merdeka dari pengaruh barat yang bertentangan dengan budaya dan agama kita. Dari segi ekonomi pula, hendaklah kita kuatkan semangat untuk merdeka tanpa mengharapkan sumber daripada negara-negara luar. Walaupun kita merdeka tapi dari aspek penjajahan sosial dan ekonomi kita masih menjadi hamba.

Tanpa kita sedari lambat-laun virus-virus ini akan tentunya melemahkan bangsa dan negara kita. Banyak golongan muda-mudi yang telahpun tumpas dengan virus ini. Ianya menular keseluruh negara tanpa kita sedari. Kelalaian serta kejahilan ini akan memusnahkan negara kita yang aman merdeka ini jika kita tidak menyedari betapa seriusnya penyakit ini.

Sempena bulan merdeka ini kita bulatkanlah tekad untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan. Janganlah kita lupa betapa peritnya nenek moyang kita hidup sebelum kemerdekaan. Janganlah juga kita sia-siakan kemerdekaan yang diperjuangkan mereka. Jika kita hendak mengekalkan kemerdekaan ini, kita hendaklah perkuatkan barisan pertahanan kita dengan perang ekonomi dan pertahankan budaya dan agama kita.