Saya amat tertarik dengan satu blog baru yang saya jumpai semalam. Iaitu blog pewarismelayu yang telah saya letakkan di dalam senarai blog-blog yang saya baca.
Jika kita amati penulisannya, ia amatlah logik. Tidak perlulah kita menyokong parti politik yang sudah terbukti akan membawa kita ke arah yang salah. Sedangkan mereka sendiri tidak tahu akan arah tujuan parti mereka. Mereka mempunyai ideologi yang jauh berbeza, entah bagaimana mereka dapat memperjuangkan nasib rakyat kelak. Siapa jadi ketua? Undang-undang yang bagaimana akan terbentuk? dan entah berapa lama kerajaan seumpama itu akan bertahan sebelum kita berpecah-belah dan negara menjadi huru-hara?
Mengapa bangsa kita masih lagi membuang masa dengan konflik-konflik politik yang tidak membawa faedah ini? Mengapa kita tidak bersatu dan memperjuangkan nasib bangsa kita yang diperkecil-kecilkan oleh dunia? Kita dipandang rendah, di hina dan tidak dihormati. Tidakkah kita malu? Tidakkah terbakar semangat kita untuk menjadi bangsa yang disegani? Melahirkan usahawan-usahawan, doktor-doktor atau golongan-golongan profesional yang mampu meningkatkan ekonomi negara, itulah yang kita patut buat. Bukannya bertelagah sesama sendiri dan menafikan bukti-bukti yang ada di depan mata. Teruk sangatkah pemerintahan yang kita ada sekarang? Seperti yang saya pernah katakan, selama 50 tahun kerajaan sekarang memerintah, pernahkah pihak kerajaan biar kita mati kebulur? Pernahkah pendidikan kita di abaikan? Pernahkah kita rasa kita tidak selamat untuk keluar dari rumah?
Apa lagi yang kita mahu? Adakah kita hendak gaji yang berpuluh-puluh ribu? Bonus hujung tahun berkali ganda? atau adakah kita mahu memandu kereta-kereta mewah yang berharga ratusan ribu atau juta? Tidak salah mahukan kesenangan, tapi menukar pucuk pemerintahan bukanlah caranya. Bangsa kita perlu sedar realiti ini. Bangsa kita perlu berusaha untuk mendapatkan kesenangan yang mereka inginkan. Bukannya berusaha menggulingkan kerajaan, tapi berusaha bangunkan dan majukan diri sendiri. Hanya dengan cara itulah kita dapat mengecapi kesenangan dunia yang kita inginkan. Jika bangsa lain dapat maju dengan pemerintahan sekarang, mengapa tidak kita? Begitu banyak kemudahan yang desediakan untuk kita? Sedangkan bangsa lain terpaksa berebut-rebut mencari kemudahan seumpama itu.
Sesungguhnya Allah maha penyayang, maha mengasihani dan maha adil sebab itulah bangsa-bangsa lain juga dapat menikmati rezeki yang disediakannya di muka bumi ini. Tapi ketahuilah bahawa Allah hanya menyayangi orang-orang Islam dan mengasihani mereka yang bukan Islam. Jika mereka yang bukan Islam dapat menikmati kesenangan seumpama itu dengan hanya dikasihani Allah, bayangkan apa yang kita boleh kecapi dengan usaha yang sama. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment