Saturday, August 23, 2008

Kesedihan Seorang Tokoh Di hari Merdeka

Walaupun saya tidak menyokong untuk Pak Lah turun dari pucuk pimpinan, namun hati saya tetap tersentuh oleh kesedihan bekas perdana menteri kita TDM melihat hari kemerdekaan yang telah disambutnya dari ulang tahun kemerdekaan yang pertama berubah suasana. Ianya tidak seindah dan semeriah dahulu. Di harap kita fahami perasaan seorang tokoh yang telah memberi seluruh hayatnya untuk pembangunan negara dan di penghujungnya inikah balasan masyarakat Malaysia terhadapnya. Sedih.. Hayatilah posting ini..

Posting di bawah telah saya ambil dari blog TDM

1. Tak lama lagi kita akan sambut Hari Merdeka ke-51. Tahun lepas kita sambut Hari Merdeka yang ke-50 dengan gembira kerana ia menandakan setengah abad kita memerintah negara kita sendiri. Dan kita bangga kerana dalam jangkamasa itu kita telah maju jauh kehadapan sehingga mereka yang lama berada di luar negara tidak kenal tanahair mereka apabila kembali. Demikian perubahan yang telah berlaku.

2. Orang asing pula apabila datang pertama kali ke Malaysia tidak percaya ini adalah negara membangun, negara dunia ketiga.

3. Bukan sahaja Kuala Lumpur sudah bertukar wajah dan dipenuhi dengan bangunan pencakar langit, dengan jalan-jalan bertingkat yang bersih dan dihias dengan tanaman bunga-bungaan sepanjang jalan dan lain-lain, tetapi bandar-bandar lain juga memperlihatkan pertumbuhan dan pembesaran, lengkap dengan jalan bertingkat yang penuh sesak dengan kereta.

4. Rata-rata kita lihat kemajuan yang telah dicapai. Jumlah yang miskin telah dikurangkan dan mereka turut bersama bergembira.

5. Rakyat berbilang kaum tidak bermusuh sesama mereka walaupun tidaklah berharmoni seperti yang diharapkan. Namun tiap kali pilihanraya diadakan majoriti pengundi memberi kepercayaan kepada Kerajaan Barisan Nasional kerana beranggapan segala-gala yang dinikmati adalah hasil pemerintahan Kerajaan-Kerajaan BN. Biasanya mereka memberi kemenangan lebih 2/3 daripada kerusi Parlimen.

6. Rakyat Malaysia yang pergi ke negara asing berasa bangga kerana Malaysia dikagumi dan dihormati oleh siapa sahaja yang mereka bertemu apabila sahaja orang asing mengetahui yang mereka dari Malaysia.

7. Mereka menyebut menara kembar Petronas dan perlumbaan Formula 1. Orang Islam asing pula tertarik dengan kemajuan dan kestabilan sebuah negara Islam.

8. Kerana semua ini rakyat Malaysia gembira dan bersemangat untuk menyambut kedatangan Hari Merdeka. Jalur Gemilang dikibar di kereta-kereta dan di bangunan-bangunan. Bukan sahaja Melayu yang bersemangat, Cina, India, Kadazan, Iban dan semua suku kaum di Sabah dan Sarawak memperlihatkan semangat dan kegembiraan mereka.

9. Biasanya apabila tiba bulan Ogos semangat dan kegembiraan rakyat dipertunjukkan dengan pelbagai cara. Jalur Gemilang berkibar di merata-rata tempat. Mungkin saya silap, atau mungkin saya bias (berat sebelah), tetapi bulan Ogos ini rakyat agak muram, tidak gembira dan bersemangat luntur.

10. Mungkin ini kerana kenaikan harga minyak dan lain-lain. Tetapi ternampak ada sesuatu yang lain yang tidak kena yang menyebabkan rakyat tidak gembira untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

11. Blogger Sheih Kickdefella telah syor kempen terbalikkan Jalur Gemilang sebagai cara memprotes ketamakan ahli dan pemimpin parti-parti politik tanpa mengira parti mana.

12. Cadangan seperti ini tidak pernah dibuat selama 50 tahun kita Merdeka.

13. Reaksi Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mudah diramal. Cadangan kempen ini ditafsir olehnya sebagai perbuatan kurang ajar. Dan seperti biasa ugutan dibuat supaya polis akan ambil tindakan terhadap blogger berkenaan. Lain-lain blogger juga dibelasah sebagai tidak berfaedah dan mendatangkan kesusahan kepada rakyat.

14. Cadangan mengibar Jalur Gemilang terbalik dianggap menghina diri sebagai rakyat Malaysia.

15. Tidak terlintaskah dalam hati Dato Seri Abdullah untuk bertanya dan mengambil tahu kenapa cadangan ganjil ini dibuat? Seperti dengan kekalahan BN pada Mac tahun ini, Dato Seri Abdullah menafikan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan BN dan Kerajaan pimpinan beliau yang menyebabkan penyokong BN daripada semua kaum memberi undi mereka kepada parti lawan. Sebaliknya beliau mentafsir merosotnya undi kepada calon-calon BN disebabkan sabotaj dan pihak tertentu tidak mahu beri kemenangan 2/3 kepada BN. Kenapa mereka berbuat demikian tidak dipersoal olehnya, hanya kemarahan dan ugutan untuk bertindak terhadap mereka ini.

16. Macam-macam cara telah dibuat untuk menyedarkan pemimpin ini tentang perasaan tidak puas hati rakyat, tetapi sikap penafiannya menyebabkan semua mesej disalah tafsir dan disalah erti. Dalam keadaan kecewa rakyat maka sukarlah bagi mereka untuk menunjuk semangat dan kegembiraan dengan keriangan sambutan hari Merdeka.

17. Kata seorang daripada kenalan saya, sekarang hanya 10 hari sahaja sebelum hari Merdeka tetapi ianya melihat hanya sebuah kereta sahaja yang memasang Jalur Gemilang.

18. Kata seorang lagi, saya simpan sahaja Jalur Gemilang tahun ini.

19. Tidak ada sesuatu bangsa yang bermaruah yang tidak ingin bebas daripada belenggu penjajahan. Kita lihat di sana-sini peperangan untuk membebas wilayah sendiri sedang berlaku. Kita lihat penderitaan mereka, hidup tidak sempurna, berlari-lari dengan bungkusan harta yang sedikit ke sana-sini. Sekejap-sekejap letupan senjata membunuh dan mencederakan mereka. Inilah nasib orang yang dijajah yang ingin merdeka.

20. Pada tahun 1957 kita merdeka dan harapan kita ialah hidup yang lebih bahagia. Justeru kita rayakan hari keramat ini kerana merdeka difahami dan dihargai oleh semua pihak.

21. Saya percaya kita masih hargai kebebasan kita, kemerdekaan kita. Tetapi sesuatu telah berlaku yang menyebabkan kita tidak begitu gembira pada hari ulangtahun merdeka pada tahun ini. Kita kesal kerana kita tidak dapat buat apa-apa untuk mengembalikan kegembiraan bangsa yang merdeka.

22. Kita bersyukur kerana kita, samada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain suku kaum tidak bersifat ganas, tidak suka pada huru-hara, tidak berminat merusuh. Tetapi pemimpin hendaklah faham kenapa rakyat berasa muram tahun ini. Jangan tipu diri dengan berkata tak benar rakyat tidak gembira. Lihat sahaja berapa ramai yang keluar melihat bunga api. Malangnya ini bukan ukurannya. Ini hanyalah cara untuk melupakan sekejap keperitan hidup rakyat kerana diperintah oleh orang yang tidak mahu faham tentang perasaan rakyat.

23. Saya akan sambut Hari Merdeka tetapi tidak seperti 50 sambutan yang terdahulu. Sesuatu sudah hilang daripada makna kemerdekaan. Mulut sudah ditutup dan apa yang ada dalam hati tinggal tertambat, tidak boleh diluahkan. Kita takut berkata apa-apa kerana polis akan digesa bertindak. Kadang-kadang saya berasa yang kita berada dalam sebuah Police State (Negara bawah kawalan polis). Tetapi ini mungkin sifat keterlaluan saya.

24. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51. Mudah-mudahan Allah s.w.t. akan membuka hati mereka supaya faham mesej-mesej yang disampaikan oleh rakyat.

http://test.chedet.com/che_det/2008/08/merdeka.html

2 comments: