Wednesday, December 24, 2008

Rasuah dalam Perniagaan 2

Sambungan....

Jadi apakah jalan penyelesaiannya bagi kita usahawan-usahawan Islam yang enggan memberi rasuah?

Persoalan yang pernah menjadi tanda tanya kepada saya, setelah puas saya bertanya, cari, baca dan kaji, saya dapati yang kurang pada mereka yang memberi dan menerima rasuah adalah perasaan tawakkal. Tawakkal yang membawa maksud:

“mempercayakan diri kepada Allah SWT dalam melaksanakan suatu rancangan, bersandar kepada kekuatan-Nya dalam melaksanakan suatu pekerjaan, berserah diri di bawah perlindungan-Nya pada waktu menghadapi kesukaran”.

Jika kita telah usaha dengan sebaik-baiknya maka seharusnya kita serahkan saja tugas seterusnya kepada Allah SWT. Biarlah Dia yang menentukan nasib kita.

Apabila kurang perasaan tawakkal ini, pada ketika itulah kita mula mencari ikhtiar sendiri untuk memudahkan kerja serta menyenangkan kehidupan kita. Kita mula memberi rasuah kerana kita percaya orang yang kita berikan rasuah itu adalah satu-satunya yang dapat membantu kita. Begitu juga dengan penerima rasuah, mereka percaya bahawa hanya dengan duit yang mereka terima itu, mereka mampu mencari nafkah lebih. Sedangkan yang memberi rezeki hanya yang satu iaitu Allah SWT.

Itulah kesedaran yang saya perolehi, kesedaran bahawa untuk bahagia, hidup senang, mewah, kita tidak perlu memberi rasuah atau meminta pertolongan dari mana-mana manusia di muka bumi ini, kerana untuk membuka pintu rezeki yang tertutup, kita hanya perlu ketuk pintu itu dengan doa dan amalan.

Tapi bagaimana pula jika bidang perniagaan anda memaksa anda mengamalkan rasuah? Persoalan yang juga pernah bermain di minda saya. Persoalan ini terjawab apabila saya lihat perjalanan hidup seorang teman saya yang juga usahawan yang enggan mengamalkan rasuah sedangkan syarikat-syarikat lain yang menjadi saingannya menggunakan taktik itu. Pada mulanya memang banyak projek-projek yang terlepas sehingga dia katakan bahawa mungkin bidang perniagaan ini bukan bidang untuk dirinya. Setelah beberapa bulan, dengan izin Allah SWT dia telah mendapat satu cawangan francais untuk sebuah stesen minyak. Sekarang dia masih lagi dengan perniagaan lamanya tanpa mengamalkan rasuah dan bahagia dengan pendapatan yang diperolehinya.

Disini boleh kita lihat bagaimana rezeki itu Allah SWT kurniakan dalam bentuk yang pelbagai. Terpulanglah kepada kita menilai dan mensyukuri nikmatnya. Mungkin dalam hati anda merasakan bahawa untuk memiliki stesen minyak adalah suatu perkara yang mustahil, namun sebenarnya ada banyak lagi perniagaan yang tidak memerlukan kita untuk memberi rasuah. Kita boleh melibatkan diri dalam bidang makanan, servis gunting rambut, cuci kereta dan sebagainya. Jika dilakukan dengan niat dan besertakan dengan tawakkal, Insyaallah ianya akan membuahkan hasil dan memberikan kebahagiaan.

No comments:

Post a Comment