Monday, August 25, 2008

Apakah Harga Sebuah Kejayaan?

4 tahun dahulu saya mempunyai seorang teman perniagaan di mana kami telah menubuhkan satu syarikat sendirian berhad bersama. Encik C bukan nama sebenar, berumur jauh lebih tua dari saya. Saya rasa pada ketika itu dia berumur 40an dan saya baru satu tahun tamat pengajian di universiti tempatan. Banyak ilmu mengenai perniagaan yang saya pelajari dari Encik C. Dia sangat cekap dalam hal-hal berkaitan tender dan bijak menguruskan para pembekal untuk mendapatkan kredit atau demo barang-barang yang hendak diniagakan. Ketika itu, Encik C mempunyai seorang isteri dan kalau tak silap 2 orang anak perempuan.

Pernah dua tiga kali saya ikut serta denganya pergi mengambil anaknya balik dari sekolah. Ketika itu Encik C hanya menggunakan kereta kalau tak silap saya Volvo 240 tahun 1990an. Keadaannya agak usang dan dia tinggal di rumah teres satu tingkat. Walaupun keadaan serba tidak cukup dan hidup Encik C sekeluarga sederhana, namun saya lihat perhubungan mereka sekeluarga sangat mesra. Setiap hari saya lihat wajahnya tersenyum gembira ketika di pejabat. Kesimpulannya Encik C saya kelaskan sebagai seorang usahawan yang bahagia.

Setelah hampir 5 tahun tidak berjumpa atau mendengar berita darinya, dua hari lepas saya terjumpa kembali dengan Encik C di sebuah kedai makan. Sekarang Encik C sudah memandu kereta BMW 5 series warna hitam yang cukup mewah dan bergaya rupanya. Saya tidak berkesempatan untuk bercakap-cakap atau bertanyakan khabar kerana melihat Encik C agak sibuk dan tergesa-gesa mungkin untuk berjumpa seseorang. Jadi kami hanya angkat tangan dari jauh dan masing-masing melemparkan senyuman. Walaupun masih kelihatan segak seperti dahulu namun saya perasan sesuatu yang berbeza dengan senyuman Encik C. Senyumannya seperti penuh risau seakan-akan sedih dan seolah-olah dibebani sesuatu. Susuk badannya pun kurus berbanding 4 tahun dahulu. Pada mulanya saya ingat mungkin kerana cuaca petang yang panas dan mungkin sekarang Encik C sudah pandai jaga badan.

Namun hari ini saya terjumpa pula dengan rakan saya yang mengenali Encik C, setelah saya ceritakan mengenai kemewahan Encik C, dia pun kata dia juga ada beberapa kali terjumpa dengan Encik C. Tapi dia jumpa Encik C di sebuah kelab malam dalam keadaan mabuk duduk menyendiri di satu sudut. Katanya Encik C sekarang sudah berubah, mempunyai masalah rumahtangga dan seolah-olah kesepian tanpa teman. Terkejutnya saya apabila mendengar cerita seumpama itu, perasaan sedih dan kasihan mula menyelubungi diri saya.

Apabila melihat kejadian Encik C saya mula berfikir, adakah ini harga untuk kemewahan dunia? Apakah erti kemewahan jika tidak dapat dikongsi dengan keluarga? Apakah erti kemewahan tanpa adanya orang yang kita sayangi? dan apakah erti kemewahan jika kita tidak dapat bersyukur dan menghambakan diri kita pada Allah SWT? Saya rasa jawapannya, tanpa Allah, keluarga dan orang yang kita sayang, kemewahan tidak akan memberi sebarang erti. Jelas disini mencerminkan bahawa kemewahan tidak menjamin kebahagiaan. Tapi haruskah kita hidup miskin? Serba tak lengkap? Serba kekurangan?

Saya ingin mengejar kemewahan kerana saya ingin bahagia, saya tak ingin lihat anak cucu saya hidup susah. Saya ingin bantu keluarga saya dan bangsa saya untuk maju dalam apa jua bidang. Apabila mewah barulah kita mampu untuk tolong sesiapa sahaja yang kita kehendaki. Saya ingin redah keperitan dan kesusahan hutan keusahawanan ini agar anak cucu dan bangsa saya tidak perlu bermula di mana saya bermula. Agar dengan usaha saya ini mereka mampu pergi lebih jauh. Walaupun saya tidak lahir dalam keluarga yang mewah dan tidak lahir dalam keluarga yang menjalankan perniagaan, saya ingin ubah semua itu agar ia dapat memberikan pengertian hidup yang lebih sempurna.

Saya harap ada dikalangan pembaca yang mempunyai pengalaman berkenaan dengan bagaimana untuk menyeimbangkan masa di antara keluarga, tuhan dan kerja yang memerlukan komitmen yang besar. Kerana kisah Encik C bukanlah kisah pertama yang saya dengar, ada banyak lagi kisah-kisah mereka yang mengorbankan keluarga dan tuhan demi karier mereka. Di harap ada yang boleh berkongsi pendapat.

1 comment:

  1. Assalamualaikum Rabbit,

    Saya bukanlah orang yg terlibat dalam perniagaan namun jika ada peluang suatu hari nanti saya ingin juga mencuba.

    Saya rasakan bila kita dalam kesusahan atau kemewahan yang penting ialah bersyukur atas nikmat yang diberikan-NYA.

    Bila kita sentiasa mengingati-NYA, InsyaAllah DIA akan mengingati kita dan dengan kuasanya menghalang kita daripada tersesat jalan dari matlamat sebenar kehidupan kita samada dalam susah ataupun senang.

    ReplyDelete