Saturday, August 16, 2008

Hak Keistimewaan Orang Melayu

Kebelakangan ini banyak kita dengar, baca dan mungkin lihat isu hak keistimewaan orang Melayu sering dipertikaikan.Kes terbaru kini iaitu berkenaan dengan memberi 10% kuota kepada pelajar bukan bumi di UITM. Perkara yang amat sensitif sekali kerana ia melibatkan ilmu dan pendidikan kaum bumi di Malaysia. Apabila berkaitan dengan pendidikan biasanya ia akan berkait rapat dengan masa depan atau nasib kaum bumi. Apabila isu ini disentuh maka membuak-buaklah semangat juang dan timbullah perasaan ingin mempertahankan nasib bangsa. Saya tahu perasaan ini kerana walaupun saya tidak pernah belajar di UITM tapi apabila mendengar berita tersebut saya berasa sangat emosional mengenainya. Tambahan lagi isu tersebut ditimbulkan oleh sesama bangsa, membuatkan saya amat terkilan.

Tidak cukup ketinggalankah bangsa kita berbanding bangsa lain? Tidak adakah semangat cintakan bangsa dikalangan masyarakat Melayu? Tidak dapatkah kita bersatu? Perlukah satu-satunya Universiti istimewa bangsa kita dipertikaikan?Kita punyai budaya yang sama, agama yang sama dan bahasa yang sama, tidakkah ini menunjukkan betapa samanya kita? Adakah kita fikir bangsa lain yang berlainan budaya, agama dan bahasa akan bela nasib bangsa kita?

Entah apa motifnya tapi kepada pihak yang membangkitkan isu tersebut diharap belajar berfikir dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan. Jangan ikut sedap mulut sehingga mengguris perasaan berjuta rakyat Malaysia.

Sebelum ini rakyat negara kita yang berbilang bangsa dan agama mampu hidup bersama dengan aman dan sentosa. Kita harus kaji mengapa baru sekarang pihak-pihak yang berkenaan berani mengketengahkan isu-isu ini? Usaha mencari punca masalah hendaklah dilakukan segera kerana apa yang kita hadapi sekarang hanyalah kesan dan bukannya akar umbi masalah itu sendiri. Sudah pasti dalam kita leka dengan keamanan yang kita ada,kita telah melakukan kesilapan. Sayang sekali usaha datuk nenek kita suatu masa dahulu menyatukan rakyat berbilang kaum dipersia-siakan.

Diharap ada pihak yang akan menyiasat punca sebenar kekecohan yang sering berlaku di negara kita kebelakangan ini. Agar ia dapat ditangani sebelum terlambat

No comments:

Post a Comment