Monday, July 28, 2008

Gunakanlah Peluang Ini Sebaik-baiknya

Kebelakangan ini saya banyak terbaca kerajaan kita Malaysia menggalakkan pekerja sektor awam untuk mewujudkan perniagaan sendiri bagi mengatasi masalah ekonomi negara. Pihak kerajaan membenarkan pekerja sektor awam ini untuk mengambil pinjaman tanpa penjamin dan tanpa cagaran bagi memulakan perniagaan. Persoalannya beranikah bangsa kita untuk mengambil risiko dalam perniagaan? Dapatkah mentaliti kita diubah? Cukupkah kemahiran berniaga yang ada pada mereka? Jika persoalan-persoalan ini tidak dijawab terlebih dahulu, pinjaman yang bertujuan untuk membantu itu, akan menjadi pinjaman yang akan menjahanamkan ekonomi pekerja-pekerja sektor awam kita.

Pekerja sektor awam kita hendaklah terlebih dahulu mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran serta pengetahuan-pengetahuan dalam bidang perniagaan. Pada bulan lepas saya baru sahaja berjumpa dengan sebuah keluarga yang membuat pinjaman hampir RM30000 seorang untuk menyertai satu skim MLM. Jadi jumlah pinjaman mereka sekeluarga sudah menghampiri RM100000. Saya tidak menentang mana-mana skim MLM, tapi sepatutnya skim MLM ini tidak memerlukan seseorang itu meminjam dengan jumlah sebanyak itu. Apabila ini berlaku risikonya amatlah tinggi dan apabila berlaku ketepuan dalam sistem MLM itu nanti, yang tinggal bersama ahli-ahli mereka hanyalah hutang yang beribu-ribu. Ada juga yang menyertai skim-skim seumpama ini, baru saja masuk dua tiga bulan dah sanggup nak berhenti kerja dan ada juga dikalangan mereka yang berhenti belajar. Sedarlah bahawa tiada yang lebih penting dari ilmu, tanpa ilmu duit akan habis akhirnya. Saya ingat dalam satu khutbah Jumaat menyatakan bahawa orang yang kurang ilmunya akan sentiasa tunduk kepada orang yang berilmu tinggi. Misalnya orang yang kurang pengetahuan tentang komputer akan tunduk,mendengar dan ada yang membayar untuk servis komputer mereka, begitu juga seorang mekanik, seorang jurutera dan macam-macam lagi. Dalam setiap keadaan, yang berilmu akan sentiasa menjadi tuan yang tak berilmu.



Dengan adanya bantuan dan peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan ini, haruslah kita gunakan dengan teliti serta mengambil kira risiko yang bakal ditanggung. Lengkapkanlah diri secukup-cukupnya tentang bidang yang hendak diceburi. Setiap perniagaan ada risikonya tersendiri, namun biarlah risiko yang diambil adalah risiko yang telah dikaji masak-masak (calculated risk) agar kita dapat mengunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya. Insyaallah.

Saturday, July 26, 2008

Bekerja Sendiri VS Makan Gaji

Persoalan ini sering saya dengar dulu ketika mula-mula menceburi bidang keusahawanan ini. Namun saya tetap menebalkan telinga dan meneruskan usaha serta proses pembelajaran saya tentang bidang yang saya sangat minati ini. Pada pendapat saya tidak salah jika kita bekerja makan gaji, tapi jangan berhenti berusaha untuk menjadi seorang usahawan. Fokus dengan impian serta hala tuju hidup anda, walaupun akan datang pelbagai halangan serta cabaran dan ada juga mereka-mereka yang sentiasa akan melemahkan semangat juang anda dalam meneruskan impian itu.

Dalam waktu-waktu itu saya biasanya akan membuka balik sebuah buku yang merupakan antara buku yang membakar semangat saya untuk terus bertahan dalam dunia keusahawanan ini. Buku berjudul Rich Dad Poor Dad ini ditulis oleh seorang jutawan bernama Robert T. Kiyosaki yang menceritakan pengalamannya paling mencabarnya ketika dia masih hidup dalam serba kekurangan. Semoga ia dapat membantu anda semua.

" In 1985, my wife, Kim, and I were homeless. We were unemployed and had little money left from our savings; our credit cards were exhausted; and we lived in an old brown Toyota with reclining seats that served as beds. At the end of one week, the harsh reality of who we were, what we were doing, and where we were headed began to sink in.Our homelessness lasted for another two weeks. A friend, when she realized our desperate financial situation, offered us a room in her basement. We lived there for nine months.We kept our situation quiet. For the most part, my wife and I looked quite normal on the surface. When friends and family were informed of our plight, the first question was always, "Why don't you get a job?"At first we attempted to explain, but in most instances, we failed to clarify our reasons. To someone who values a job, it is difficult to explain why you might not want a job.Occasionally, we did a few odd jobs and earned a few dollars here and there. But we did that only to keep food in our stomachs and gas in the car. Those few extra dollars were only fuel to keep us going toward our singular goal. I must admit that during moments of deep personal doubt, the idea of a safe, secure job with a paycheck was appealing. But because job security was not what we were looking for, we kept pushing on, living day to day, on the brink of the financial abyss.That year 1985, was the worst of our lives, as well as one of the longest. Anyone who says that money isn't important obviously has not been without it for long. Kim and I fought and argued often. Fear, uncertainty and hunger shortens the human emotional fuse, and often we fight with the person who loves us the most. Yet, love held the two of us together and our bond as a couple grew stronger because of the adversity. We knew where we were going, we just did not know if we would ever get there.We knew we could always find a safe, secure, high-paying job. Both of us were college graduates with good job skills and solid work ethics. But we were not going for job security. We were going for financial freedom.By 1989, we were millionaires. Although financially successful in some people's eyes, we still had not reached our dreams. We had not yet achieved true financial freedom. That took untill 1994. By then, we never had to work again for the rest of our lives. Barring an unforeseen financial disaster, we were both financially free, Kim was 37, and I was 47. "

Friday, July 25, 2008

Keikhlasan Dalam Bekerja

Beberapa hari yang lepas saya terdengar satu rancangan tv yang membicarakan tentang keikhlasan bekerja dalam konsep Islam. Jika dahulu saya berpendapat ikhlas bekerja maksudnya ikhlas kepada majikan atau jujur kepada pelanggan. Setelah saya fahami kandungan rancangan tv tersebut, ikhlas dalam bekerja sebenarnya bermaksud keikhlasan kita bekerja kerana Allah swt. Jika kita ikhlas melakukan kerja kita kerana Allah swt, insyaallah kerja kita akan dipermudahkan perjalanannya dan di banyakkan lagi penyelesaian kepada masalah-masalah kerja yang mungkin timbul.

Kepentingan adanya keikhlasan dalam bekerja adalah agar kita mendapat berkat dan juga ianya boleh membuatkan kita sentiasa ingat kepada Allah swt serta tawakkal dalam pekerjaan kita. Apabila pemikiran sebegini di amalkan, insyaalllah kita akan memperolehi keseronokan dan ketenangan dalam pekerjaan yang kita lakukan.

Monday, July 21, 2008

Pendidikan Kewangan 2

Sejak sekian lama budaya pendidikan kita adalah berasaskan peperiksaan, yang betul diberi hadiah dan yang salah akan dirotankan. Di sinilah bermulanya sikap takut gagal bangsa kita, takut mengambil risiko dan tidak berani mencuba. Saya bukannya hendak menyokong mereka yang berbuat salah dari segi disiplin tapi hanya dalam konteks peperiksaan. Realitinya sikap ini tanpa disedari akan dibawa apabila pelajar-pelajar melangkah kedunia sebenar kelak. Apabila takut akan melakukan kesilapan, mereka akan duduk dirumah, malas berusaha dan berfikiran negatif terhadap segala-galanya.
Pendidikan yang ada sepatutnya membantu memperkembangkan minda dan dapat digunakan dalam membantu lepasan-lepasan graduan dalam pencarian kerjaya yang bermutu. Pengetahuan asas perniagaan seperti kunci kira-kira, cara membuka syarikat, cukai, cara membuat kertas kerja dan sebagainya harus didedahkan kepada mereka dari awal lagi. Dengan ini barulah dapat melahirkan usahawan-usahawan baru yang berdaya maju serta masalah ekonomi dan pengangguran dapat dikurangkan. Saya cadangkan "Satu Bilik Darjah, Satu Produk" , bagi menggalakkan serta mendedahkan bangsa kita dengan idea keusahawanan.

Wednesday, July 16, 2008

Pendidikan Kewangan 1

Jika di kaji masalah kewangan rakyat Malaysia, kini saya sedari rakyat Malaysia kekurangan dari segi pendidikan kewangan yang mereka perolehi sepanjang kehidupan mereka. Pendidikan kewangan yang saya maksudkan di sini adalah pengetahuan untuk mejanakan, merealisasikan dan mencari wang. Semenjak dibangku sekolah lagi, kita di inputkan dengan pelbagai jenis matapelajaran yang saya rasa pada ketika itu, kita tidak tahu bagaimana matapelajaran-matapelajaran itu dapat membantu kita dalam kehidupan.

Kita tahu bahawa jika kita belajar dan jawab soalan peperiksaan dengan betul, kita akan dapat markah yang baik dan di kemuncaknya mendapat sijil-sijil seperti diploma atau ijazah. Namun saya yakin sebilangan besar pelajar-pelajar dan mahasiswa-mahasiswa belajar untuk lulus dalam peperiksaan tanpa mengetahui bagaimana cara untuk mengaplikasikan apa yang di pelajari terhadap kehidupan sebenar. (Bersambung)

Saturday, July 12, 2008

Lawatan Ke Blog Tun

Hari ini saya telah membuka blog Tun Dr Mahathir dan dapati ramai yang memberikan komen terhadap setiap tulisan yang di buatnya.. Ada yang positif dan ada yang negatif.. Saya sangat menghormati dan menyanjung Tun atas jasa dan usahanya membangunkan bangsa dan negara. Walaupun pendapat-pendapatnya masih bernas dan hebat, tapi saya masih kurang pasti apakah matlamat utamanya. Jika dia mengusulkan Perdana Menteri kita ditukar, siapakah yang akan menjadi pengganti? Apakah yang dapat memastikan kejadian pertelagahan sesama bangsa ini tidak akan berterusan?

Walaupun keadaan politik sekarang agak goyang, tapi kita tidak boleh membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Biarlah ada hala tuju dan biarlah terancang. Jika perkara sepenting ini di ambil mudah, tak suka buang, tak suka tukar, kita akan memburukkan lagi keadaan. Ikut hati mati, ikut rasa binasa, jadi biarlah kita ikut minda dan fikiran agar penyelesaian terbaik dapat diperolehi. Kesabaran harus ada, jangan kita hanya lihat keburukan yang ada pada Barisan Nasional, lihatlah juga kebaikan yang telah kita perolehi. Selama 50 tahun negara kita di perintah oleh Barisan Nasional, adakah rakyat yang mati kebuluran? berapakah kadar pengangguran negara? tidak adakah sekolah-sekolah untuk rakyat dibina?

"MELAYU MUDAH LUPA" kata-kata Tun yang mungkin turut dilupakan oleh orang-orang melayu. Bangsa kita pakar dalam mengkritik, mencari kelemahan orang dan mencari kesilapan. Jarang sekali ada yang menghargai, berterima kasih dan bersyukur. Kalau dilukis satu bintik hitam kecil di atas sekeping kertas putih yang besar, bangsa kita tetap akan melihat bintik hitam tersebut tanpa menyedari ada kertas putih yang besar dibelakangnya. Itulah realiti bangsa kita, disebabkan pilihan raya umum ke-12, 11 pilihan raya umum sebelumnya dilupakan, disebabkan minyak naik 70sen hari ini, subsidi minyak selama berpuluh-puluh tahun lamanya juga dilupakan. Sejak bilakah bangsa kita menjadi bangsa yang tak mengenang budi?

Komen saya di blog Tun : www.chedet.com

"By White Rabbit on July 11, 2008 5:36 PM

"By anonymous on July 11, 2008 10:54 AM
Salam Dr.MYou wrote: "Kehendak majoriti rakyat ialah untuk Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan. Renunglah. Fikirlah."

My personal opinion is, people desperately want a better Malaysia...ok, Pak Lah should resign...but what it will be after that?...do we have a good plan?...what is our next move?...
If we don't have anything to concider for our future, with Pak Lah or no Pak Lah, Malaysia will fail yet again..."

Assalamualaikum Dr. M,

Saya amat menghormati Dr. M dan pendapat-pendapat Dr. M sentiasa saya fahami isi kandungannya. Namun apa yang dinyatakan oleh anonymous ini ada juga kebenarannya. Tak kira siapa yang mentadbir, masalah tetap akan berulang. Pada pendapat saya, masalahnya bukan pada pucuk pimpinan tapi pada rakyat yang menjadi akarnya. Siapa yang memimpin hanyalah kesan daripada pilihan rakyat yang merupakan penyebabnya. Bangsa kita masih di takuk lama, lemah, leka, lambat membuat kerja dan sentiasa perlukan bantuan itu dan ini. Saya lihat bangsa-bangsa lain, walaupun harga minyak atau barang naik mereka masih mampu memiliki kereta-kereta mewah dan melancong ke sana-sini. Kesedaran harus timbul dalam diri setiap kita agar usahlah terlalu bergantung dengan pihak kerajaan. Ingatkan dengan bantuan-bantuan yang diberi, bangsa kita akan maju tapi sebaliknya bangsa-bangsa lain pula yang menjadi lebih tahan lasak dan bersemangat. Usahlah kita bertelagah lagi menunjukkan kelemahan bangsa sendiri, bersatu dan berusahalah demi kebaikan bangsa dan negara. Insyaallah. "

Friday, July 11, 2008

Iqra'

Iqra' .... Bacalah...
Betapa pentingnya ilmu dalam Islam.. Ayat pertama yang diturunkan berkait rapat dengan ilmu iaitu membaca. Membaca membuka minda manusia kepada benda-benda baru yang tidak pernah di bayangkan. Membaca juga boleh mencerdaskan lagi kemampuan minda dan boleh memperkembangkan kemahiran diri.

Membaca merupakan kelebihan manusia berbanding dengan spesis-spesis lain. Hidupan lain biasanya akan belajar melalui pengalaman dan komunikasi di antara sesama sendiri. Dengan adanya kemampuan untuk membaca dan menulis, manusia mencipta kaedah pembelajaran yang tidak mungkin diperolehi hidupan lain di muka bumi ini. Ini membuatkan revolusi manusia lebih cepat di mana ia boleh belajar melalui pengalaman orang lain. Lebih banyak seseorang itu membaca, lebih banyaklah pengetahuan yang diperolehinya. Namun berlainan orang akan mendapat perolehan yang berlainan ketika membaca, walaupun membaca buku yang sama di ketika yang sama. Ini kerana membaca sahaja tidak mencukupi untuk memperolehi kandungan bacaan. Maklumat yang dibaca hendaklah diproses dan disimpan di dalam otak. Apabila ini berlaku lengkaplah satu proses pembelajaran melalui membaca.

Kesedaran tentang pentingnya budaya membaca di negara kita haruslah dititikberatkan. Dalam dunia teknologi dan maklumat ini, kita harus menggunakan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya kerana dengan adanya kemudahan internet, informasi dan pengetahuan dapat diperolehi secara terus oleh sesiapa sahaja dan dimana-mana sahaja. Kita hanya perlu baca dengan niat untuk belajar. Jadi marilah kita sama-sama menjadikan membaca satu rutin harian untuk perkembangan diri dan negara.

Thursday, July 10, 2008

Masalah Yang Melanda Bangsa

Kebelakangan ini boleh didengar dan dibaca di mana-mana mengenai isu politik negara kita semakin hangat. Walaupun pada pendapat saya tak kira siapa yang mentadbir, manusia tetap manusia, tidak akan ada yang dapat lari dari kesilapan dan dosa. Tapi pertelagahan yang berlaku di antara sesama bangsa, bagi saya sia-sia sahaja. Tiada apa yang dapat diperolehi dari pertelagahan ini, yang rugi di kemudian hari adalah bangsa kita juga.



Walau apa pun silapnya kerajaan pemerintahan ketika ini, cara penyelesaiannya bukanlah dengan bertelagah. Jika ditubuhkan kerajaan baru sekalipun, dengan pemerintahan parti baru, belum tentu ia lebih baik dari sekarang. Jika anda diberi pilihan untuk memilih seorang kapten kapal terbang untuk membawa anda ke destinasi tertentu, adakah anda akan memilih kapten A yang telah memandu sebanyak 50 kali atau kapten B yang baru saja hendak memandu? Dan anda tak tahu pun samaada kapten B itu pandai atau tidak memandu kapal terbang. Pilihan nya mudah, saya pasti anda akan memilih kapten A.



Mungkin ada yang akan menyatakan bahawa konteksnya tidak sama dengan menukar pemerintahan negara kita. Dalam kes pemilihan kapten, kita berhadapan dengan hidup dan mati diri kita. Tapi tidakkah kita sedar, dalam kes pemilihan pemerintah negara, kita di hadapkan dengan pilihan hidup dan matinya bangsa kita. Pernah saya baca pendapat seorang blogger yang menyatakan untuk mencuba saja pemerintahan baru, ianya hanya untuk dua penggal, kalau tak suka dengan pemerintahan baru, kita tukar balik UMNO. Saya berasa sedih apabila membacanya, tidakkah kita sedar nasib bangsa kita bukanlah sesuatu yang boleh dicuba-cuba, sekali kita tersilap habislah bangsa kita. Banyak pihak yang menunggu untuk mengambil kesempatan ke atas bangsa kita, di dalam dan di luar negara.

Oleh itu fikirkanlah masak-masak wahai bangsaku, jangan sekali-kali ambil mudah tentang nasib bangsa kita. Kita bertuah kerana lahir dalam negara yang merdeka. Jadi pertahankanlah perjuangan kemerdekaan itu agar sejarah tidak berulang. Agar generasi kita yang akan datang tidak perlu mengangkat senjata hanya untuk sesuap nasi. Insyaallah

Wednesday, July 9, 2008

Penyelesaian Harga Barang Dan Minyak Naik

Dewasa ini tidakkah kita sedar pergolakan politik negara semakin meruncing? Tidakkah kita sedar kita tidak mampu lagi mengawal ekonomi negara dan tidak mampu lagi mengawal harga barang dalam negara? Ini kerana aliran wang negara kita mengalir keluar ke negara lain. Cara penyelesaiannya kita harus ambil balik wang tersebut. Bagaimana? Banyakkan menghasilkan produk dan dengan lebih banyak mengeksport produk-produk tempatan. Bukannya menentang dasar-dasar kerajaan, merungut, melaporkan kepada negara lain atau meminta itu dan ini. Gunakanlah akal yang Allah s.w.t berikan dan gunakanlah dengan sebaik-baiknya dengan melakukan tindakan yang logik dan rasional. Jika harga barang dan minyak naik, adakah masalah kita kekurangan barang dan minyak? Tidak. Kita kekurangan duit untuk membeli barang dan minyak. Jadi apabila kita kekurangan duit, adakah penyelesaiannya sekiranya kita meminta kerajaan memberi kita gaji lebih? Juga tidak. Kita harus usahakan duit tersebut dan mintalah dengan Allah s.w.t dengan berniaga. Insyaallah berkat kecekalan dan niat yang ikhlas tuhan akan limpahkan rezekinya.

Tuesday, July 8, 2008

Menguasai Ekonomi

Selepas kemerdekaan anak bangsa kita mulai lalai, leka serta alpa dengan politik, pentadbiran dan kuasa. Kita terus berbalah, berebut dan bertengkar mengenai hal-hal remeh yang tiada penghujungnya. Kita harus tahu bahawa kuasa sebenarnya dikawal oleh mereka-mereka yang menguasai ekonomi? Maksud menguasai ekonomi bukannya menjadi menteri dalam bidang ekonomi dan bukan juga menjadi pemerintah mutlak negara. Tapi menguasai ekonomi dalam erti kata mudah ialah berniaga. Tak kira besar atau kecil, tak kira banyak atau sikit dan tak kira penting atau tidak barang niaga kita, yang pentingnya kita berniaga.

Berniaga adalah satu pekerjaan yang mulia. Seorang peniaga membekalkan barang-barang atau perkhidmatan keperluan kepada pembeli dengan harga yang dipersetujui bersama. Tidak hairanlah Islam menggalakkan umatnya menjalankan perniagaan kerana berniaga boleh dikatakan satu kerja yang membantu orang lain. Sebelum ini saya selalu mendengar dan membaca mengenai 9/10 pintu rezeki itu ada di dalam perniagaan, namun pada pendapat saya setakat itu sajalah hadis tersebut dan beranggapan 1/10 pintu rezeki ada pada mereka yang kerja makan gaji. Tapi setelah membaca buku terbaru Chef Li yang bertajuk "Aku Tak Nak Miskin" saya dapati keseluruhan hadis tersebut berbunyi.




Rasulullah SAW pernah bersabda:



"9/10 dari pintu-pintu rezeki ada di dalam perniagaan, 1/10 adalah dalam pertanian dan penternakan."





-Maksud Hadis Riwayat at-Tirmizi




Alangkah terkejutnya saya kalau di ikut konteks perniagaan pada masa kini hadis ini jelas menyatakan bahawa 10/10 pintu rezeki adalah dalam bidang perniagaan. Tidak langsung disebut tentang hal bekerja dengan orang atau makan gaji. Ertinya selama ini kebanyakkannya bangsa lain yang mengaut rezeki yang Allah SWT sediakan untuk kita.

Bangsa kita masih lagi tersekat dan terkongkong dengan ideologi kerja makan gaji itu untung, selamat dan mudah. Ideologi itulah yang diperturunkan kepada anak-anak dan generasi-generasi muda yang sepatutnya cergas, aktif, dan berani mengambil risiko. Saya bukannya nak memburukkan atau menghina orang-orang yang kerja makan gaji, tapi hanya hendak menyedarkan bangsa kita agar kita lebih maju. Bekerja makan gaji untuk menyara kehidupan asas pada anggapan saya tidak salah, tapi janganlah kita statik dan malas untuk berusaha lebih. Pada waktu lapang janganlah duduk lepak di kedai kopi, tidur atau melakukan aktiviti-aktiviti melalaikan tanpa sebarang motif atau faedah. Fikirkanlah cara untuk memajukan diri, keluarga, negara dan ummah. Perkayakanlah diri kita dengan ilmu perniagaan dan ilmu untuk memperkembangkan kualiti diri. Jika kita lahir sebagai petani, janganlah kita mati sebagai petani, matilah sebagai usahawan petani moden yang berjaya. Ubahlah nasib bangsa kita. Biarlah kehidupan yang kita lalui lebih bermakna dan di ingati generasi-generasi akan datang.


"A journey of a thousand miles does not start with a single step but it starts with a baby step."

Monday, July 7, 2008

Mencari Nasihat Membina

"Nasihat yang membina tidak datang dari mulut seseorang yang memberi nasihat, tapi nasihat yang sebenar-benarnya membina akan datang dari telinga pendengar yang berjaya menterjemahkan nasihat tersebut."

Suatu masa dahulu, saya pernah terbaca dan amat tertarik dengan ayat atas. Kita sering mencari nasihat dan panduan di dalam kehidupan, sebagai seorang usahawan atau seorang insan biasa kita sering akan menerima pelbagai teguran, nasihat dan kata-kata panduan. Jika seseorang menegur atau memberi nasihat maksudnya akan sentiasa bermaksud baik. Ini kerana perlakuan menegur itu sendiri jika kita fahami betul-betul tidak ada yang akan menegur jika mereka tidak peduli, tidak ambil kisah atau tidak sayang. Setiap teguran dan nasihat yang diberi akan seharusnya sentiasa membina si penerimanya. Terpulang kepada si penerima menterjemahkan atau melihat teguran tersebut daripada pelbagai perspektif yang berlainan. Renung dan fikirkanlah...

Sunday, July 6, 2008

Rezeki Tanpa Batasan

Dalam mencari rezeki atau pendapatan, manusia tidak akan berhenti walaupun hingga ke liang lahad. Manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dunia sehingga sanggup khianat-mengkhianati, fitnah-memfitnah, pecah amanah dan hingga ada yang sanggup berbunuhan. Tidak salah kita berusaha atau berlumba-lumba mencari kesenangan yang sememangnya menjadi idaman setiap insan. Tapi biarlah ada caranya yang betul, etikanya dan batasannya.

Sebagai seorang usahawan, untuk terus maju kita harus saling bantu-membantu, ingat-mengingati dan membimbing teman-teman seperjuangan yang memerlukan bantuan. Pada pemerhatian saya, kebanyakkan pihak hanya ingin membantu perniagaan-perniagaan dan usahawan-usahawan yang telah maju atau berjaya sahaja. Sedangkan ramai jiwa-jiwa muda yang ingin melibatkan diri dalam dunia keusahawanan yang seolah-olah tiada tempat sebagai panduan.

Saya tidak menyalahkan agensi-agensi kerajaan kerana banyak kursus-kursus, bantuan-bantuan serta program-program yang di anjurkan. Tapi yang menyedihkan saya ialah banyak usahawan sesama bangsa yang kedekut dengan apa yang mereka ada. Bahkan seolah-olah takut pula mata pencarian mereka hilang jika berkongsi bersama ilmu yang mereka ada. Padahal sebenarnya mereka lupa, sesungguhnya rezeki itu datangnya dari yang maha kuasa dan sesungguhnya mereka lupa rezeki itu ada di mana-mana. Tak akan habis duit di dunia ini, tak akan habis projek-projek dan tender-tender. Kita disediakan peluang dan rezeki tanpa batasan dimuka bumi ini. Jika ini tak dapat, kita boleh cuba itu, jika itu tak dapat, boleh lagi kita cari yang lain.

Pernahkah manusia putus sumber rezeki? Dari lahirnya Nabi Adam sehinggalah sekarang, dunia ini tak pernah kehabisan sumbernya, kita sentiasa mencari sumber alternatif dan berkembang mengikut arus permodenan kerana manusia di anugerahkan akal yang mempunyai potensi tanpa batasan. Walaupun kita hanya menggunakan secebis kecil daripadanya, namun ia sudah cukup untuk mencorak seluruh permukaan bumi dengan pelbagai-bagai keindahan dan rekacipta. Jika bangsa kita sedar akan potensi ini dan kikiskan sikap dengki dan tamak, insyaallah kita akan menjadi bangsa yang paling maju dimuka bumi. Bangsa kita disekat oleh sikap bangsa kita sendiri, bangsa-bangsa lain saya lihat semakin hari semakin bersatu, kita pula bertelagah sesama sendiri, benci-membenci dan berpecah belah. Tidakkah kita hendakkan satu perkara yang sama? Tidakkah kita mahukan satu Negara dan bangsa yang hidup aman dan bahagia?

Islam mengajar kita bermuafakah, bermesyuarah, hormat menghormati dan bersatu. Itulah nilai-nilai dan cara hidup seorang Islam. Adakah bangsa kita melayu yang telah sinonim namanya dengan Islam ini menjalani kehidupan sedemikian? Tidakkah kita malu jika kehidupan melayu yang sedemikian hanya dapat dibaca dari buku-buku teks dan buku-buku di perpustakaan? Jadi sedar dan berubahlah bangsaku. Berilah peluang pada sesama bangsa yang memerlukan, tak kira mereka akan menggunakan peluang itu sebaik-baiknya atau tidak. Sekurang-kurangnya kita telah membantu dan jangan sekali-kali berputus asa dengan bangsa kita sendiri. Jika kita tak selamatkan bangsa kita, jangan harap bangsa lain akan berbuat demikian.

Saturday, July 5, 2008

Bagaimana Mengukur Kekayaan?

Pada pendapat penulis-penulis dan usahawan-usahawan barat kekayaan tidak diukur melalui gaya seseorang, nilai harta benda yang ada atau gaji yang diperolehi. Tapi kekayaan bermaksud berapa banyak simpanan wang yang kita ada, dan berapa lamakah wang tersebut mampu menampung kehidupan kita yang sedia ada jika kita hanya duduk dirumah tanpa sebarang pendapatan lain. Adakah 3 bulan? 3 tahun? atau 30 tahun? Lebih lama ketahanan simpanan lebih kaya lah orangnya.

Walaupun benar cara pengukurannya, pada pendapat saya ianya hanyalah ukuran jasmani atau fizikal. Dari segi kerohanian dan mental pula, saya teliti cara tersebut tidaklah berapa tepat. Kerana masih dapat dilihat artis-artis atau jutawan-jutawan barat yang seperti tidak tenteram, melibatkan diri dengan gejala sosial yang berleluasa dan kes bunuh-berbunuhan merupakan perkara lazim bagi mereka. Mereka seolah-olah mencari sesuatu yang mereka sendiri pun tidak tahu. Mencari kepuasan yang lebih walaupun terpampang di depan mata nikmat tanpa batasan.

Dari bidang keusahawanan saya telah fahami pengertian syukur, tanpa rasa syukur seorang usahawan tidak akan tenang dan sentiasa mengejar sesuatu yang tidak mungkin akan cukup. Pengalaman saya, dulu ketika mula-mula berniaga, ada duit RM10.00 saya hendakkan duit RM100.00. Namun bila duit RM100.00 di tangan, saya lupa yang saya hendakkan duit tersebut dan hendakkan RM1000.00. Bila tercapai sasaran RM1000.00 pun tidak cukup, tidak puas dan tidak tenang. Saya hendak tambahkan lagi kosong dibelakang digit itu, sehinggalah suatu hari saya terdengar rancangan motivasi radio yang menjelaskan pengertian syukur dalam perniagaan. Barulah saya sedar kita akan merasai perasaan mewah itu dengan hanya berasa cukup dan bersyukur. Dalam pencarian kemewahan dunia, kita tidak akan berasa puas walaupun diberi kemewahan seluruh alam, akan sentiasa wujud rasa kekurangan di hati sekiranya kita tidak bersyukur. Oleh itu usahlah kita merungut dengan bermacam-macam masalah, usahlah menjadi bangsa subsidi hingga akhir zaman, kita harus berubah, jadi berusahalah dengan tulang empat kerat yang di anugerahkan dan bersyukurlah dengan nikmat yang sedia ada. Insyaallah.


Firman Allah SWT


"Jika kamu bersyukur nescaya akan aku tambah nikmat yang ada pada kamu"

-Maksud surah Ibrahim : 7

Friday, July 4, 2008

Usahawan Kerjaya Pilihan

Usahawan kerjaya pilihan. Penyataan yang sesungguhnya mudah disebut namun amat sukar diharungi. Memilih tidak semestinya akan berjaya, tidak semestinya akan bertahan, dan tidak semestinya akan hidup mewah. Bagi usahawan-usahawan di malaysia, peratus sesebuah perniagaan untuk berjaya bertahan selama 10 tahun amatlah kecil. Namun usahawan Islam bumiputra tidak sampai 10% daripada bilangan tersebut. Apakah kurangnya usahawan-usahawan kita? Adakah modal? Adakah tenaga kerja? Adakah kurang bantuan kerajaan? atau adakah kurang pengetahuan ekonomi?
Pada pemerhatian saya, usahawan-usahawan kita punyai kelengkapan perang yang cukup untuk mengharungi bidang keusahawanan, yang kurang hanyalah kehendak, semangat dan kecekalan. Kita tidak mempunyai kehendak membara (burning desire) yang semulajadi dalam diri kita. Kalau dibandingkan dengan bangsa-bangsa pendatang yang lain kita jauh ketinggalan dalam kelebihan ini. Disebabkan kesempitan dan keperitan di negara sendiri mereka berhijrah ke dunia asing dan bangkit dengan semangat waja untuk mencari sesuap nasi. Namun lama-kelamaan sesuap boleh jadi segantang, segantang boleh jadi seguni dan sekarang lihatlah apa terjadi di negara kita? Nak makan nasi pun kita terpaksa berfikir dua kali sebab harga dah melambung naik. Ke mana perginya semangat juang kemerdekaan? Kerana bangsa kita amat memerlukannya ketika ini, kerana tanpa disedari kita di ambang penjajahan ekonomi. Bangkitlah!!