Monday, July 28, 2008

Gunakanlah Peluang Ini Sebaik-baiknya

Kebelakangan ini saya banyak terbaca kerajaan kita Malaysia menggalakkan pekerja sektor awam untuk mewujudkan perniagaan sendiri bagi mengatasi masalah ekonomi negara. Pihak kerajaan membenarkan pekerja sektor awam ini untuk mengambil pinjaman tanpa penjamin dan tanpa cagaran bagi memulakan perniagaan. Persoalannya beranikah bangsa kita untuk mengambil risiko dalam perniagaan? Dapatkah mentaliti kita diubah? Cukupkah kemahiran berniaga yang ada pada mereka? Jika persoalan-persoalan ini tidak dijawab terlebih dahulu, pinjaman yang bertujuan untuk membantu itu, akan menjadi pinjaman yang akan menjahanamkan ekonomi pekerja-pekerja sektor awam kita.

Pekerja sektor awam kita hendaklah terlebih dahulu mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran serta pengetahuan-pengetahuan dalam bidang perniagaan. Pada bulan lepas saya baru sahaja berjumpa dengan sebuah keluarga yang membuat pinjaman hampir RM30000 seorang untuk menyertai satu skim MLM. Jadi jumlah pinjaman mereka sekeluarga sudah menghampiri RM100000. Saya tidak menentang mana-mana skim MLM, tapi sepatutnya skim MLM ini tidak memerlukan seseorang itu meminjam dengan jumlah sebanyak itu. Apabila ini berlaku risikonya amatlah tinggi dan apabila berlaku ketepuan dalam sistem MLM itu nanti, yang tinggal bersama ahli-ahli mereka hanyalah hutang yang beribu-ribu. Ada juga yang menyertai skim-skim seumpama ini, baru saja masuk dua tiga bulan dah sanggup nak berhenti kerja dan ada juga dikalangan mereka yang berhenti belajar. Sedarlah bahawa tiada yang lebih penting dari ilmu, tanpa ilmu duit akan habis akhirnya. Saya ingat dalam satu khutbah Jumaat menyatakan bahawa orang yang kurang ilmunya akan sentiasa tunduk kepada orang yang berilmu tinggi. Misalnya orang yang kurang pengetahuan tentang komputer akan tunduk,mendengar dan ada yang membayar untuk servis komputer mereka, begitu juga seorang mekanik, seorang jurutera dan macam-macam lagi. Dalam setiap keadaan, yang berilmu akan sentiasa menjadi tuan yang tak berilmu.



Dengan adanya bantuan dan peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan ini, haruslah kita gunakan dengan teliti serta mengambil kira risiko yang bakal ditanggung. Lengkapkanlah diri secukup-cukupnya tentang bidang yang hendak diceburi. Setiap perniagaan ada risikonya tersendiri, namun biarlah risiko yang diambil adalah risiko yang telah dikaji masak-masak (calculated risk) agar kita dapat mengunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment