Iqra' .... Bacalah...
Betapa pentingnya ilmu dalam Islam.. Ayat pertama yang diturunkan berkait rapat dengan ilmu iaitu membaca. Membaca membuka minda manusia kepada benda-benda baru yang tidak pernah di bayangkan. Membaca juga boleh mencerdaskan lagi kemampuan minda dan boleh memperkembangkan kemahiran diri.
Membaca merupakan kelebihan manusia berbanding dengan spesis-spesis lain. Hidupan lain biasanya akan belajar melalui pengalaman dan komunikasi di antara sesama sendiri. Dengan adanya kemampuan untuk membaca dan menulis, manusia mencipta kaedah pembelajaran yang tidak mungkin diperolehi hidupan lain di muka bumi ini. Ini membuatkan revolusi manusia lebih cepat di mana ia boleh belajar melalui pengalaman orang lain. Lebih banyak seseorang itu membaca, lebih banyaklah pengetahuan yang diperolehinya. Namun berlainan orang akan mendapat perolehan yang berlainan ketika membaca, walaupun membaca buku yang sama di ketika yang sama. Ini kerana membaca sahaja tidak mencukupi untuk memperolehi kandungan bacaan. Maklumat yang dibaca hendaklah diproses dan disimpan di dalam otak. Apabila ini berlaku lengkaplah satu proses pembelajaran melalui membaca.
Kesedaran tentang pentingnya budaya membaca di negara kita haruslah dititikberatkan. Dalam dunia teknologi dan maklumat ini, kita harus menggunakan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya kerana dengan adanya kemudahan internet, informasi dan pengetahuan dapat diperolehi secara terus oleh sesiapa sahaja dan dimana-mana sahaja. Kita hanya perlu baca dengan niat untuk belajar. Jadi marilah kita sama-sama menjadikan membaca satu rutin harian untuk perkembangan diri dan negara.
No comments:
Post a Comment