Sunday, July 6, 2008

Rezeki Tanpa Batasan

Dalam mencari rezeki atau pendapatan, manusia tidak akan berhenti walaupun hingga ke liang lahad. Manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dunia sehingga sanggup khianat-mengkhianati, fitnah-memfitnah, pecah amanah dan hingga ada yang sanggup berbunuhan. Tidak salah kita berusaha atau berlumba-lumba mencari kesenangan yang sememangnya menjadi idaman setiap insan. Tapi biarlah ada caranya yang betul, etikanya dan batasannya.

Sebagai seorang usahawan, untuk terus maju kita harus saling bantu-membantu, ingat-mengingati dan membimbing teman-teman seperjuangan yang memerlukan bantuan. Pada pemerhatian saya, kebanyakkan pihak hanya ingin membantu perniagaan-perniagaan dan usahawan-usahawan yang telah maju atau berjaya sahaja. Sedangkan ramai jiwa-jiwa muda yang ingin melibatkan diri dalam dunia keusahawanan yang seolah-olah tiada tempat sebagai panduan.

Saya tidak menyalahkan agensi-agensi kerajaan kerana banyak kursus-kursus, bantuan-bantuan serta program-program yang di anjurkan. Tapi yang menyedihkan saya ialah banyak usahawan sesama bangsa yang kedekut dengan apa yang mereka ada. Bahkan seolah-olah takut pula mata pencarian mereka hilang jika berkongsi bersama ilmu yang mereka ada. Padahal sebenarnya mereka lupa, sesungguhnya rezeki itu datangnya dari yang maha kuasa dan sesungguhnya mereka lupa rezeki itu ada di mana-mana. Tak akan habis duit di dunia ini, tak akan habis projek-projek dan tender-tender. Kita disediakan peluang dan rezeki tanpa batasan dimuka bumi ini. Jika ini tak dapat, kita boleh cuba itu, jika itu tak dapat, boleh lagi kita cari yang lain.

Pernahkah manusia putus sumber rezeki? Dari lahirnya Nabi Adam sehinggalah sekarang, dunia ini tak pernah kehabisan sumbernya, kita sentiasa mencari sumber alternatif dan berkembang mengikut arus permodenan kerana manusia di anugerahkan akal yang mempunyai potensi tanpa batasan. Walaupun kita hanya menggunakan secebis kecil daripadanya, namun ia sudah cukup untuk mencorak seluruh permukaan bumi dengan pelbagai-bagai keindahan dan rekacipta. Jika bangsa kita sedar akan potensi ini dan kikiskan sikap dengki dan tamak, insyaallah kita akan menjadi bangsa yang paling maju dimuka bumi. Bangsa kita disekat oleh sikap bangsa kita sendiri, bangsa-bangsa lain saya lihat semakin hari semakin bersatu, kita pula bertelagah sesama sendiri, benci-membenci dan berpecah belah. Tidakkah kita hendakkan satu perkara yang sama? Tidakkah kita mahukan satu Negara dan bangsa yang hidup aman dan bahagia?

Islam mengajar kita bermuafakah, bermesyuarah, hormat menghormati dan bersatu. Itulah nilai-nilai dan cara hidup seorang Islam. Adakah bangsa kita melayu yang telah sinonim namanya dengan Islam ini menjalani kehidupan sedemikian? Tidakkah kita malu jika kehidupan melayu yang sedemikian hanya dapat dibaca dari buku-buku teks dan buku-buku di perpustakaan? Jadi sedar dan berubahlah bangsaku. Berilah peluang pada sesama bangsa yang memerlukan, tak kira mereka akan menggunakan peluang itu sebaik-baiknya atau tidak. Sekurang-kurangnya kita telah membantu dan jangan sekali-kali berputus asa dengan bangsa kita sendiri. Jika kita tak selamatkan bangsa kita, jangan harap bangsa lain akan berbuat demikian.

No comments:

Post a Comment