Kebelakangan ini boleh didengar dan dibaca di mana-mana mengenai isu politik negara kita semakin hangat. Walaupun pada pendapat saya tak kira siapa yang mentadbir, manusia tetap manusia, tidak akan ada yang dapat lari dari kesilapan dan dosa. Tapi pertelagahan yang berlaku di antara sesama bangsa, bagi saya sia-sia sahaja. Tiada apa yang dapat diperolehi dari pertelagahan ini, yang rugi di kemudian hari adalah bangsa kita juga.
Walau apa pun silapnya kerajaan pemerintahan ketika ini, cara penyelesaiannya bukanlah dengan bertelagah. Jika ditubuhkan kerajaan baru sekalipun, dengan pemerintahan parti baru, belum tentu ia lebih baik dari sekarang. Jika anda diberi pilihan untuk memilih seorang kapten kapal terbang untuk membawa anda ke destinasi tertentu, adakah anda akan memilih kapten A yang telah memandu sebanyak 50 kali atau kapten B yang baru saja hendak memandu? Dan anda tak tahu pun samaada kapten B itu pandai atau tidak memandu kapal terbang. Pilihan nya mudah, saya pasti anda akan memilih kapten A.
Mungkin ada yang akan menyatakan bahawa konteksnya tidak sama dengan menukar pemerintahan negara kita. Dalam kes pemilihan kapten, kita berhadapan dengan hidup dan mati diri kita. Tapi tidakkah kita sedar, dalam kes pemilihan pemerintah negara, kita di hadapkan dengan pilihan hidup dan matinya bangsa kita. Pernah saya baca pendapat seorang blogger yang menyatakan untuk mencuba saja pemerintahan baru, ianya hanya untuk dua penggal, kalau tak suka dengan pemerintahan baru, kita tukar balik UMNO. Saya berasa sedih apabila membacanya, tidakkah kita sedar nasib bangsa kita bukanlah sesuatu yang boleh dicuba-cuba, sekali kita tersilap habislah bangsa kita. Banyak pihak yang menunggu untuk mengambil kesempatan ke atas bangsa kita, di dalam dan di luar negara.
Oleh itu fikirkanlah masak-masak wahai bangsaku, jangan sekali-kali ambil mudah tentang nasib bangsa kita. Kita bertuah kerana lahir dalam negara yang merdeka. Jadi pertahankanlah perjuangan kemerdekaan itu agar sejarah tidak berulang. Agar generasi kita yang akan datang tidak perlu mengangkat senjata hanya untuk sesuap nasi. Insyaallah
No comments:
Post a Comment