Thursday, February 5, 2009

Gaza Car Boot Sale

Hujung minggu lepas saya ambil bahagian dalam car boot sale yang dianjurkan oleh UNIMAS sempena hari terbuka UNIMAS dan sebahagian daripada hasil jualan akan didermakan kepada penduduk-penduduk Gaza. Terdapat juga pelbagai acara sukan air yang dianjurkan pada hari tersebut.

Saya telah mengambil kesempatan tersebut untuk menjual segala harta benda lama yang saya tak lagi gunakan. Sebahagian daripadanya adalah barangan yang saya kumpul dari saudara mara saya dan sebahagian pula dari ibubapa saya yang terlalu banyak menyimpan barang di rumah. Saya masih ingat ketika usia muda dahulu saya dan adik-adik sering merungut dengan kedua ibubapa kami yang terlalu suka mengumpul barang-barang lama yang tidak lagi digunakan. Kami sering kali tanpa pengetahuan mereka membuang barang-barang lama tersebut kerana ia membuatkan rumah sesak dan nampak tidak kemas. Entah berdosa entah tidak tapi kemudian kami tetap minta maaf masa tiba Hari Raya.

Walaupun begitu hujung minggu lepas banyak juga barangan-barangan lama yang saya bawa untuk dijual dengan harga yang murah. Barang-barang saya dijual dalam lingkungan harga RM10 ke RM30. Di penghujung harinya ada jugak dalam 2 ke 3 ratus ringgit jumlah keseluruhan. Untung memanglah tak seberapa namun ketika duduk melihat pelanggan-pelanggan yang datang membeli barang-barang lama tersebut, saya mula sedar akan nilai sesuatu barangan tersebut adalah berbeza-beza untuk setiap manusia. Barang yang mungkin tiada nilai bagi kita mungkin sesuatu yang berharga untuk orang lain. Betapa seronoknya mereka ketika membeli barang-barang tersebut. Golongan yang membeli dari mereka yang berpangkat tinggi hingga ke penjaja stall tidak mengira umur dan pendapatan. Di sini ternyata bahawa nilai sesuatu barangan adalah sangat subjektif.

Terkenang kembali zaman saya dan adik-adik saya membuang barang-barang lama yang disimpan kedua ibubapa saya, saya berasa kesal dan rasa bahawa saya telah meletakkan nilai yang terlalu rendah untuk barang-barang tersebut. Saya gagal menghargai apa yang ada, sedangkan ramai yang inginkan apa yang saya miliki. Hidup tidak semestinya sentiasa senang, sentiasa cukup atau sentiasa ada apa yang kita mahu, jika kita gagal menghargai apa yang kita miliki saya yakin apabila semuanya ditarik balik oleh yang Maha Kuasa, kita akan berasa payah dan kesal. Oleh itu sebagai peringatan kepada pembaca dan diri saya sendiri, biarlah kita menghargai apa yang kita miliki, lihat sekeliling kita dan bandingkan dengan mereka yang kurang bernasib baik. Mudah-mudahan dapatlah kita menikmati rasa syukur dan miliki jiwa yang tenang. Amin.

4 comments:

  1. bley x len kali jgn guna warna pink lembut tu..x nampak la nak baca..sakit mato den..

    ReplyDelete
  2. hehehhe... maaf la cik nurul oii... dulu saya ingat saya nyer background kaler hitam jadi nak letak pink kasi nampak.. rupa2nya putih.. saya edit ye.. :D

    ReplyDelete
  3. tak menjadi masalah.. sentiasa terbuka pada teguran dan komen2 yang boleh membina... terima kasih kembali ye...

    ReplyDelete